Skip to content

Kerajaan perlu menarik balik perintah kuarantin 3 hari bagi Menteri Kabinet kerana tidak berasaskan faktor saintifik serta tidak adil untuk rakyat

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba telah berturut-turut mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan tentang perintah kuarantin bagi mereka yang pulang dari luar negara.

Pada 8 Februari 2021, beliau menyatakan Menteri yang pulang daripada lawatan rasmi luar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama 3 hari sedangkan tempoh kuarantin bagi rakyat biasa adalah 10 hari. Kenyataannya menimbulkan kritikan serius daripada pelbagai pihak termasuk pakar penyakit berjangkit seperti Profesor Dato Adeeba Kamarulzaman dan Academy of Medicine Malaysia, Dato Profesor Dr Rosmawati Mohamed yang turut mempertikaikan pengurangan tempoh kuarantin ini.

Pada 9 Februari 2021 pula, beliau mempertahankan keputusannya memberi dalih bahawa kuarantin 3 hari tersebut hanya diberikan kepada Menteri yang benar-benar mengikut “gelembung program perjalanan” (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi yang layak untuk kelonggaran kuarantin, seperti apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan rasminya di Indonesia baru-baru ini. Sedangkan, Menteri Luar Negara Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang mengadakan lawatan rasmi ke UAE pula peru menjalani kuarantin 10 hari kerana jadual lawatan rasminya dikatakan ketat.

Selepas teruk dikritik oleh orang ramai, beliau menambah lagi kepada kenyataannya yang mengelirukan itu dengan menyatakan bahawa kuarantin 3 hari itu mungkin dibuka kepada ahli perniagaan dan orang awam tidak lama lagi.

Kami menuntut Menteri Kesihatan menjelaskan apakah rasional dan kriteria sebenar untuk rakyat Malaysia, tidak kira sama ada Menteri atau rakyat biasa, yang pulang dari luar negara berhubung isu kuarantin dan kawalan Covid-19?

Dr Adham Baba tidak boleh mengeluarkan perintah yang memberi kelonggaran kepada Menteri Kabinet dalam Warta Persekutuan, kemudian sesuka hati berkata kelonggaran kuarantin 3 hari tersebut hanya diberi kepada Menteri yang benar-benar mengikut “gelembung program perjalanan” (itinerary bubble) tetapi bukan kepada Menteri yang lain. Ini bermaksud wujudnya kuarantin “dwi-standard” di kalangan Menteri yang membuat lawatan rasmi ke luar negara. Selepas itu, beliau berkata kuarantin 3 hari akan dibuka kepada orang ramai kerana Kerajaan ingin membuka ekonomi. Tidak ada ketekalan (consistency) dalam keputusan beliau, malah menimbulkan kekeliruan dalam negara.

Kami mahu Kerajaan melaksanakan perintah kuarantin yang adil dan sama bagi semua pihak kerana wabak virus Covid-19 tidak mengenali pangkat dan kedudukan, sama ada kepada Menteri atau pemandu Menteri. Keputusan Kerajaan terhadap isu yang amat penting seperti kuarantin ini perlu berdasarkan maklumat tepat berasaskan sains dan kawalan pandemik, dan bukan untuk memberi keselesaan kepada Menteri.

Sedangkan pada masa yang sama, Kerajaan telah dan sedang mengenakan tindakan keras, iaitu tangkapan dan denda yang berat, bagi mereka yang dituduh melanggar SOP di seluruh negara. Maka, Menteri sepatutnya menunjukkan teladan dengan mematuhi segala SOP kawalan jangkitan Covid-19, dan tidak menjadi punca kepada kluster baharu apabila berjumpa dengan rakyat tanpa mematuhi SOP.

Sehubungan itu, kami 34 Ahli Parlimen Pembangkang menyeru Dr Adham Baba dan Kabinet Perikatan Nasional menarik balik perintah kuarantin 3 hari bagi Menteri yang telah dimasukkan dalam warta Persekutuan.

Kami juga menyeru kabinet PN mengadakan perbincangan segera dengan teliti dan mendalam dalam isu kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, dan membuat keputusan yang adil dan sama-rata kepada semua pihak mengikut data saintifik, dan bukan untuk memudahkan gaya hidup Menteri. Wabak Covid-19 adalah soal hidup atau mati yang perlu ditangani dengan serius.

Darell Leiking
AHLI PARLIMEN PENAMPANG

Syed Saddiq
AHLI PARLIMEN MUAR

Mohd Azis Jamman
AHLI PARLIMEN SEPANGGAR

Hannah Yeoh Tseow Suan
AHLI PARLIMEN SEGAMBUT

Yeo Bee Yin
AHLI PARLIMEN BAKRI

Baru Bian
AHLI PARLIMEN SELANGAU

Datuk Rozman Bin Isli
AHLI PARLIMEN LABUAN

Salahuddin Ayub
AHLI PARLIMEN PULAI

Amiruddin Hamzah
AHLI PARLIMEN KUBANG PASU

Teo Nie Ching
AHLI PARLIMEN KULAI

Isnaraissah Munirah Majilis
AHLI PARLIMEN KOTA BELUD

Mahfuz Omar
AHLI PARLIMEN POKOK SENA

Khalid Samad
AHLI PARLIMEN SHAH ALAM

Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji
AHLI PARLIMEN RAUB

Maria Chin
AHLI PARLIMEN PETALING JAYA

Wong Shu Qi
AHLI PARLIMEN KLUANG

Teresa Kok Suh Sim
AHLI PARLIMEN SEPUTEH

Dr Dzulkefly Ahmad
AHLI PARLIMEN KUALA SELANGOR

Dr Lee Boon Chye
AHLI PARLIMEN GOPENG

Kasthuriraani Patto
AHLI PARLIMEN BATU KAWAN

P. Prabakaran
AHLI PARLIMEN BATU

M. Kulasegaran
AHLI PARLIMEN IPOH BARAT

Chong Chieng Jen
AHLI PARLIMEN STAMPIN

Sivarasa Rasiah
AHLI PARLIMEN SUNGAI BULOH

Chan Foong Hin
AHLI PARLIMEN KOTA KINABALU

Steven Choong
AHLI PARLIMEN TEBRAU

Dr Maszlee Malik
AHLI PARLIMEN SIMPANG RENGGAM

Chan Ming Kai
AHLI PARLIMEN ALOR SETAR

Dr Azman Ismail
AHLI PARLIMEN KUALA KEDAH

Thomas Su
AHLI PARLIMEN KAMPAR

Alice Lau
AHLI PARLIMEN LANANG

Sim Tze Tzin
AHLI PARLIMEN BAYAN BARU

Datuk Christina Liew
AHLI PARLIMEN TAWAU

Nor Azrina Surip @ Nurin Aina
AHLI PARLIMEN MERBOK