Skip to content

Kerajaan Perlu Perkukuh Mekanisme Akauntabiliti Audit: Tahap Pelaksanaan Syor Audit Perlu Didedahkan, Tempoh Tindakan Balas Dicadang 30 Hari

Saya menegaskan bahawa kerajaan perlu memperkukuh mekanisme akauntabiliti dalam sistem perolehan dan pentadbiran awam susulan pendedahan kelemahan serius dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri 2/2025.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa sistem perolehan kerajaan secara prinsip telah dilengkapi dengan pelbagai lapisan penilaian seperti Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan, Jawatankuasa Pra-Tender dan Jawatankuasa Perolehan Tender bagi menjamin ketelusan serta keputusan yang berasaskan penilaian profesional.

Namun, laporan juga membongkar kelemahan ketara dalam tiga projek perolehan bernilai RM58.45 juta di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di mana kontrak telah diberikan kepada syarikat yang tidak memenuhi keperluan teknikal, malah ada yang sedang mengendalikan projek sakit. Keputusan ini dibuat walaupun syor penilaian teknikal dan kewangan jelas tidak menyokong pelantikan syarikat-syarikat tersebut.

Tujuan kita mewujudkan pelbagai peringkat penilaian adalah untuk mencegah kecuaian dan memastikan keputusan terbaik dapat dicapai melalui kebijaksanaan kolektif. Namun, apabila semua syor itu diketepikan dan syarikat yang tidak layak tetap diberikan projek, maka ini bukan lagi kecuaian prosedur semata-mata, tetapi kegagalan sistemik.

Saya turut menyentuh bahawa walaupun Akta Audit 1957 telah dipinda pada tahun lalu bagi membolehkan Ketua Audit Negara menjalankan audit susulan, hakikatnya jabatan itu masih “umpama harimau tidak bertaring” kerana tidak memiliki kuasa mengambil tindakan terhadap pegawai atau agensi yang gagal melaksanakan pembetulan.

Ketua Audit Negara hanya mampu mengemukakan syor tetapi jika agensi tidak membuat sebarang tindakan dan tiada sesiapa yang dipertanggungjawabkan, maka audit tersebut hanya menjadi satu bentuk formaliti tanpa makna.

Sekarang, hanya sebahagian kecil syor audit telah dilaksanakan sepenuhnya, manakala sebahagian besar hanya dilaksanakan secara separa atau langsung tidak diberi maklum balas. Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan mewajibkan setiap syor audit yang dikemukakan didedahkan secara terbuka di laman sesawang rasmi kerajaan dan memberikan ruang untuk orang awam memberikan maklum balas atau desakan tindakan ke atas setiap kes audit tersebut. Kerajaan juga perlu mensyaratkan setiap agensi atau kementerian terlibat memberi maklum balas dalam tempoh 30 hari terhadap setiap syor audit yang dibangkitkan dan sekiranya sesebuah agensi enggan melaksanakan syor, mereka wajib menyatakan sebab rasmi serta siapa yang bertanggungjawab atas keputusan tersebut.

Tanpa ketelusan, tiada akauntabiliti. Kita mesti bergerak meninggalkan budaya ‘tiada siapa yang bertanggungjawab’ kepada satu budaya di mana ‘siapa buat keputusan, dia mesti menjawab.

Sekiranya pembaharuan terhadap sistem perolehan tidak dilaksanakan segera, kontraktor yang tidak berwibawa dan tidak beretika akan terus meraih keuntungan daripada kelemahan sistem, manakala negara dan rakyat akan terus menanggung kerugian akibat pembaziran wang pembayar cukai.