Skip to content

Kerajaan perlu segera membatalkan kenaikan tarif elektrik ke atas perniagaan untuk membantu menangani enam kebimbangan mendesak oleh perniagaan yang mungkin memberi impak buruk kepada prestasi ekonomi 2022

Kerajaan mesti membatalkan kenaikan tarif elektrik ke atas perniagaan dengan segera untuk membantu menangani enam kebimbangan mendesak oleh perniagaan yang mungkin memberi kesan buruk kepada keuntungan dan kelangsungan syarikat mereka serta prestasi ekonomi 2022 bagi mengeluarkan negara daripada kemelesetan sekarang.

Walaupun dengan aktiviti perniagaan yang lebih baik semasa tempoh Tahun Baru Cina, kebimbangan utama yang mengejutkan ialah kekurangan pekerja untuk menampung permintaan yang meningkat. Ketidakupayaan untuk mendapatkan pekerja telah memaksa sesetengah perniagaan untuk “berehat” dalam tempoh yang biasanya sibuk dan menguntungkan ini.

Kebimbangan kedua ialah inflasi dan kenaikan harga bukan sahaja barang makanan tetapi juga komoditi asas. Pengenaan tarif elektrik yang lebih tinggi ke atas perniagaan melalui surcaj dan penarikan balik rebat telah ditambah buruk lagi oleh kelemahan ringgit yang meningkatkan harga import. Lebih daripada 1.6 juta pengguna komersil dan perindustrian perlu membayar sehingga hampir 20% lebih tinggi untuk elektrik mulai 1 Februari, yang membawa kepada peningkatan harga bagi barangan dan perkhidmatan mereka.

Mengapakah pengguna perlu membayar lebih hanya untuk meningkatkan lagi keuntungan kepada satu syarikat sahaja iaitu Tenaga Nasional Bhd? Sebelum kenaikan tarif baharu ini, Tenaga telah mencatatkan peningkatan hasil dan pendapatan sebanyak 9.6% dan 4.6%, masing-masing bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2021. Tidakkah itu memadai apabila banyak lagi syarikat lain hampir tidak dapat bertahan? Tenaga tidak seharusnya terlalu dilindungi dengan mengorbankan berjuta-juta perniagaan yang sedang bergelut dan sedang cuba untuk bernafas semula akibat pandemik COVID-19.

Kebimbangan ketiga ialah kerenah birokrasi, ketidakcekapan dan siri dasar yang berubah-ubah dan pusingan U oleh kerajaan yang menyebabkan kekeliruan dan bukannya kepastian, gangguan dan bukannya kebolehpercayaan serta menimbulkan keraguan dan bukannya keyakinan. Kebimbangan keempat ialah peningkatan rasuah yang ditunjukkan oleh penurunan drastik Indeks Persepsi Rasuah Transparency International 2021 kepada No. 62 daripada No. 51 pada 2019 yang hanya akan menambah kos kepada perniagaan.

Kebimbangan kelima ialah ketidakcekapan dan kegagalan kerajaan untuk memanfaatkan faedah teknologi tinggi automasi, Kecerdasan Buatan (AI) , Internet Kebendaan (IoT) dan juga 5G untuk mempercepatkan kemajuan Malaysia dan tidak ketinggalan di belakang negara seperti Vietnam atau Thailand. Kebimbangan keenam dan terakhir ialah kegagalan kerajaan untuk memenuhi janji mereka sendiri untuk mempertimbangkan lanjutan moratorium pinjaman bank dan pengecualian faedah selama 6 bulan lagi bagi membantu perniagaan yang bergelut yang timbul akibat pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi untuk bertahan dan berkembang maju.

Kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 telah surut, dengan syarat kerajaan mengotakan janjinya untuk tidak mengenakan semula siri “total lockdown” yang telah terbukti tidak berjaya menghapuskan COVID-19 dan telah melumpuhkan ekonomi sepenuhnya sehingga menyebabkan negara terjerumus ke dalam kemelesetan yang menyakitkan. Adakah kerajaan akan bertindak atau terus dibuai mimpi tidak melaksanakan tugas mereka dengan memberi tumpuan kepada survival politik mereka lebih daripada kepentingan rakyat?