Skip to content

Kerajaan Perpaduan bersedia untuk terus memacu sektor pertanian dan menjamin rantaian bekalan makanan yang stabil dan mampan

Pelbagai inisiatif dan agenda keterjaminan makanan telah diberi penekanan dalam #belanjawan2024 dan ini membuktikan ketersediaan Kerajaan Perpaduan untuk terus memacu sektor pertanian dan menjamin rantaian bekalan makanan yang stabil dan mampan.

Berdasarkan pengumuman YAB Perdana Menteri, kawalan harga sementara bagi telur dan ayam akan dilepaskan setelah hampir dua tahun dilaksanakan. Langkah ini adalah bagi memastikan pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran.

Sejak Februari 2022, Kerajaan telah menanggung RM3.8 bilion hanya untuk subsidi telur dan ayam. Memandangkan trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah kembali stabil dan harga pasaran semasa kini adalah lebih rendah, kawalan harga siling sebenarnya tidak lagi relevan.

Perlu tahu, pengeluaran telur dan ayam di Malaysia sebenarnya telah lama mencapai tahap sara diri (SSL) namum menghadapi sedikit gangguan rantai bekalan pada penghujung tahun lepas. Menerusi beberapa langkah intervensi Kerajaan, sektor penternakan ayam daging dan ayam telur telah kian kembali normal.

Bagi saya, sektor pertanian adalah bersifat komersial di mana ia perlu diperkembangkan secara berterusan dan berfungsi mengikut market force. Dengan pelepasan kawalan harga sementara ayam dan telur, saya yakin sektor penternakan ayam daging dan ayam telur akan maju berkembang dengan bukan sahaja membekalkan sumber protein yang sihat dan cukup kepada rakyat Malaysia, tetapi juga ke pasaran luar negara.

Pihak KPKM turut akan terus melibat urus dengan pemain industri terutamanya Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) bagi membincangkan langkah-langkah soft-landing sebelum harga ayam dan telur diapungkan. Butiran lanjut akan diumumkan kemudian.

Peruntukan subsidi kerajaan terutamanya terhadap sektor agromakanan, sememangnya perlu dirasionalkan supaya bukan sahaja para petani, pesawah, penternak, nelayan dapat dimanfaatkan dengan potensi perkembangan ekonomi pertanian secara komersial, manakala peruntukan kerajaan juga dapat disampaikan kepada kumpulan tersasar secara efisien.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim. Belanjawan 2024 telah membuktikan keazaman Kerajaan Perpaduan mengukuhkan ekosistem makanan tempatan termasuk mengembleng dan merangkul seluruh kekuatan dan kepakaran Kerajaan dan swasta terutamanya untuk meningkatkan hubungan pasaran bagi para pengeluar seperti petani, penternak, dan nelayan.