Skip to content

Kerajaan Perpaduan Terus Dengar Suara Rakyat — DAPSY Selar MCA & Akmal Sebagai “Ejen Terpaling PN”

1. DAPSY merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas prakarsa yang memberikan lebih banyak ruang kepada semua wakil rakyat dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan terhadap Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB). Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan perpaduan berbeda dengan rejim sebelumnya dan sudi mendengar suara rakyat, membina konsensus dan memelihara hak serta kepentingan masyarakat.

2. Dalam pada itu, DAPSY menyelar tindakan Presiden MCA, Wee Ka Siong Dan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh yang hanya tampil untuk menentang RUU PSB pada hujung sidang Parlimen ini. Suara tentangan MCA & Akmal Saleh sebenarnya bukanlah untuk menambahbaikkan kandungan RUU PSB, tetapi memang berniat untuk mengikut telunjuk Perikatan Nasional (PN). Selama ini tidak pernah wujudnya apa-apa cadangan konstruktif yang dikemukakan oleh MCA & Akmal Saleh kepada KPKT, namun pula tiba-tiba muncul untuk menunggang isu seperti PN.

3. DAPSY juga menolak hujah “100% persetujuan” yang dilaungkan Akmal Saleh lantaran memang jelasnya retorik tersebut adalah tidak selari dengan pelaksanaan sebenar. Tamsilnya hanya persetujuan sekitar 92.4% sahaja dapat dicapai dalam projek Residensi Kerinchi, dan maka kerajaan ketika itu terpaksa menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk memuktamadkan proses. Adalah tidak susah untuk memahami bahawa akta sedia ada memberikan kuasa yang jauh lebih keras, manakala RUU PSB pula berfungsi untuk menyediakan pelapik perlindungan dan piawaian jelas agar proses lebih telus dan mengimbangkan realiti. Mengangkat slogan “100% persetujuan” dengan menggunakan contoh 1 Razak Mansion tanpa sebarang solusi menyeluruh adalah satu tindakan mengelirukan orang ramai.

4. Perlu diingat, kerajaan terdahulu sendiri tidak berpegang sepenuhnya kepada persetujuan 100%. Sejak tahun 2012, penanda aras rujukan 80% telah ditetapkan, dan pernah ada projek diteruskan tanpa persetujuan penuh seperti Residensi Kerinchi. Jika dahulu boleh dilaksanakan, kini pula ada ahli politik yang berlagak bahawa seolah-olah 100% tersebut adalah satu-satunya jalan? Sikap dwi-piawaian sebegini hanya mendedahkan perihal hipokrit dalam hujah mereka.

5. Berbeda dengan Ejen Terpaling PN seperti MCA & Akmal Saleh, pendekatan sesetengah ahli parlimen blok kerajaan adalah jauh lebih konstruktif, iaitu bertujuan untuk menjadikan RUU PSB lebih baik dan bukan menyeru untuk menolaknya bulat-bulat. Wakil rakyat sedemikian berusaha untuk memberikan cadangan seperti menetapkan ambang persetujuan yang munasabah, memperincikan perlindungan untuk penyewa, mewujudkan mekanisme rayuan, serta mengutamakan kawasan usang berisiko. Inilah perbahasan dasar yang rakyat perlukan, bukannya retorik politik yang berlagak hero.

6. Sesungguhnya MCA dan Akmal Saleh tidak mengemukakan apa-apa pelan alternatif. Memandangkan MCA telah berulang kali menyebut untuk meninggalkan BN, dan Akmal Saleh pula lebih gemar untuk bersekongkol dengan Pemuda PAS & Bersatu, DAPSY menasihati entiti sedemikian yang berperanan sebagai ejen PN dalam mewujudkan huru-hara dan merosakkan kerajaan perpaduan untuk terus menggunakan panji PN dan usahlah berselindung di bawah kerajaan kini dan menyamar sebagai jaguh rakyat.

7. Kerajaan perpaduan menzahirkan iltizam untuk melaksanakan reformasi dalam pelbagai aspek, namun pula wujudnya musuh dalam selimut yang sibuk berlagak hero. DAPSY menegaskan bahawa retorik sebegini yang bersifat untuk merosakkan usaha murni tidak akan sesekalipun menenggelamkan segala usaha reformasi yang dijanakan kerajaan perpaduan lantaran rakyat mahukan solusi, bukan sensasi.