Kerajaan Persekutuan BN masih terus meminggirkan Pulau Pinang berikutan kegagalan memberikan sebarang projek utama dalam Belanjawan Negara kebelakangan beberapa tahun ini. Bukan sahaja janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat sebanyak 3 kali untuk membina sistem LRT untuk mengurangkan kesesakan lalulintas, tidak langsung ditunaikan, malah permohonan kerajaan negeri untuk program tebatan banjir sebanyak RM805 juta ditolak.
Permohonan projek baru rancangan tebatan banjir sebanyak RM805 juta dibuat baru-baru ini, berikutan janji Perdana Menteri akan bantu menyelesaikan masaalah banjir kilat tetapi malangnya ia masih tinggal janji kosong. Yang lebih teruk lagi ialah kemungkinan besar Rancangan Tebatan Banjir(RTB) Sungai Pinang sebanyak RM150 juta dibatalkan sungguhpun sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9.
Ini adalah sungguh tidak adil kerana membayar RM6.3 bilion setiap tahun dalam bentuk cukai dan duti kastam tetapi hanya dapat pulangan 2% sahaja. Harus ditekankan bahawa Pulau Pinang masih sebahagian Malaysia dan tidak patut dianaktirikan dan diabaikan sedemikian.
Di samping itu, keadaan kritikal Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang(LTAPP) yang penuh sesak, dan dijangka melebihi kapasitinya sebanyak 6.5 juta penumpang, tidak diberikan perhatian serius. Seharusnya projek pembesaran LTAPP diluluskan dengan segara untuk mengelakkan pandangan buruk ke atas LTAPP yang sesak seperti sebuah pasar malam.
Rancangan awal untuk membina hotel 4 bintang ataupun apa-apa kompleks komersil di LTAPP pun dibatalkan dan hanya tempat letak kereta akan ditambah. Adalah diharapkan bahawa janji untuk membina satu kemudahan tempat letak kereta bertingkat untuk meningkatkan kapasitinya kepada 3,000 lot, khusus untuk memenuhi keperluan pengguna lapangan terbang, tidak akan tinggal janji kosong sepertimana janji-janji manis kerajaan persekutuan sebelum ini.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen saya pada 24.11.2015, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menyatakan:-
Jumlah penumpang yang dikendalikan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Pulau Pinang sejak 2010 sehingga bulan September 2015 adalah seramai 29.6 juta penumpang. Jumlah ini merangkumi penumpang antarabangsa dan domestik yang berlepas ataupun mendarat di lapangan terbang tersebut. Untuk makluman YB Bagan, kapasiti sedia ada Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas adalah sebanyak 6.6 juta penumpang setahun. Manakala jumlah trafik penumpang yang dikendalikan di lapangan terbang tersebut pada 2014 adalah sebanyak 6 juta penumpang setahun.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) sedang menjalankan satu kajian bertajuk “Kajian Pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Baru Di Utara Malaysia”. Kajian ini akan mengambil masa 6 bulan dan dijangka siap pada akhir November ini. Kajian tersebut juga akan mengambilkira status cadangan projek pembesaran lapangan terbang Pulau Pinang. Keputusan kajian tersebut akan memberikan panduan kebolehlaksanaan (feasibility) keseluruhan projek-projek lapangan terbang Utara Malaysia termasuk sebarang cadangan pembangunan komersial. Sebarang keputusan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang akan tertakluk kepada hasil kajian tersebut.
Merujuk kepada cadangan pembangunan lain di sekitar LTA Pulau Pinang, pihak MAHB sememangnya menyedari akan masalah kekurangan tempat letak kereta di lapangan terbang antarabangsa Pulau Pinang. Bilangan 666 lot yang ada sekarang tidak lagi mencukupi. Oleh yang demikian MAHB akan membina satu kemudahan tempat letak kereta bertingkat untuk meningkatkan kapasitinya kepada 3,000 lot khusus untuk memenuhi keperluan pengguna lapangan terbang. Dengan ini, isu pembinaan sebuah hotel 4 bintang serta pembangunan lain di tapak tempat letak kereta tersebut adalah tidak timbul di mana apa-apa rancangan komersial yang lain adalah di kawasan luar tempat letak kereta tersebut.