Kerajaan Persekutuan dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) perlu segera membuat penjelasan rasmi berkenaan dengan kekeliruan yang ditimbulkan oleh pernyataan bertentangan mengenai pendekatan kerajaan terhadap penggunaan Sinovac dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ini memandangkan kenyataan Menteri PN Khairy Jamaluddin dan Dr Adham Baba bahawa Sinovac tidak lagi menjadi sebahagian daripada pelaksanaan vaksinasi Covid-19 kerajaan dan baki vaksin Sinovac akan diperuntukkan kepada mereka yang memerlukannya untuk melengkapkan dos kedua mereka. Selain itu, ada surat rasmi yang ditandatangani oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin yang menyatakan hasrat Negeri tersebut untuk menghentikan vaksin Sinovac dan meneruskan dengan Pfizer di semua pusat vaksinasi.
Pernyataan dan arahan dasar tanpa kejelasan dan penerangan yang jelas berdasarkan sains dan data itu akan menimbulkan keraguan dan persoalan dalam fikiran orang ramai yang akan mempengaruhi keyakinan masyarakat bukan hanya kepada vaksin Sinovac, tetapi juga seluruh program PICK. Apakah ini bererti semua kerajaan negeri sekarang diberi autonomi dan pilihan untuk memilih vaksin yang akan mereka berikan?
Sekiranya pilihan seperti itu diberikan, adakah ia juga akan diperluas ke negeri-negeri lain atau hanya satu negeri diberi layanan istimewa berbanding negeri-negeri lain? Sekiranya ini dibenarkan, ia akan memberi kesan yang besar kepada PICK kerana pembahagian vaksin yang tidak sama ke negeri yang berlainan, melebarkan jurang ketidaksamaan vaksin di dalam negara kita sendiri.
Selain itu, kerajaan perlu memberikan penerangan yang jelas berdasarkan sains dan data untuk menghilangkan keraguan dan kekeliruan yang timbul terhadap kebimbangan keberkesanan yang dibangkitkan oleh beberapa kajian ilmiah yang dilakukan iaitu di Hong Kong dan Chile mengenai keberkesanan Sinovac berbanding dengan vaksin mRna. Kegagalan untuk melakukannya hanya akan menjejaskan keyakinan ornag ramai terhadap satu-satunya program yang menunjukkan kemajuan, walaupun terhad, oleh Kerajaan PN.
Kerajaan juga perlu menangani sebarang keraguan yang semakin meningkat agar tidak terpengaruh dengan konflik geopolitik antara negara-negara kuasa besar yang merendah-rendahkan vaksin dari China walaupun telah mendapat kelulusan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Walaupun DAP menyokong penuh PICK, perlu ada komunikasi yang tepat dan jelas mengenai halatuju dasar, jika tidak, ini akan menimbulkan kesangsian dan keraguan di kalangan rakyat, termasuk mereka yang telah mengambil vaksin Sinovac.
Semua Menteri PN, terutamanya Dr Adham Baba dengan reputasinya membuat pernyataan tidak masuk akal di peringkat antarabangsa, tidak sahaja perlu menyelesaikan kekeliruan dan keraguan yang timbul, tetapi juga harus berhati-hati ketika mengumumkan halatuju baharu dasar tanpa penjelasan yang tepat. Menghentikan kekeliruan dengan kejelasan, kepastian dan keselarasan adalah jalan ke hadapan untuk melindungi integriti dan menjamin kejayaan PICK.