Skip to content

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak hendaklah serius di dalam memastikan bahawa tiada lagi penangguhan ke atas Projek Tebatan Banjir RM 150 juta

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak hendaklah serius di dalam memastikan bahawa tiada lagi penangguhan ke atas Projek Tebatan Banjir RM 150 juta yang seharusnya dilaksanakan di Kuching bagi menangani isu banjir kilat di kawasan rendah di bandar ini. Banjir kilat yang sering berlaku menyebabkan keresahan dan kemusnahan harta benda masyarakat.

Saya telah membangkitkan isu ini di parlimen dan meminta jawapan dan penjelasan berkenaan penangguhan projek dan seterusnya memohon agar projek berkenaan diutamakan. Saya turut membangkitkan kejadian banjir kilat yang berlaku di bandar Kuching termasuk di kawasan Hospital Umum Sarawak dan kawasan perumahan yang benar – benar menuntut keperluan projek tersebut.

Projek RM 150 juta ini dikenali sebagai Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLBS) Sungai Sarawak merangkumi 9 projek termasuk naiktaraf sistem perparitan di 5 lokasi iaitu Hospital Umum Sarawak, Kuarters Kerajaan di Jalan Tun Jugah, Batu Lintang, Sk Muara Tuang, Samarahan dan sistem perparitan sepanjang Jalan Lebuhraya Kuching – Samarahan. Selain daripada itu, terdapat juga projek untuk membina benteng sepanjang Sg Gersik, Sg Sinjan dan pendalaman Sungai Tengah dan Sungai Minjab.

Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak yang berada di bawah Kerajaan Sarawak telah diberi mandat untuk mengimplementasi dan memantau projek. Untuk permulaan, peruntukkan daripada kerajaan persekutuan telah diberikan untuk projek ini pada penghujung 2018 selepas penilaian permulaan seperti mana yang telah diumumkan oleh mantan Menteri YB dr Xavier Jayakumar.

Proses pembangunan projek dan perolehan dan lantikkan kontraktor harus dimuktamadkan pada Nov 2019. Proses rekabentuk dan perolehan tanah pula harus dilakukan diantara Desember 2019 – Desember 2020. Projek dijadualkan harus bermula pada 2021 dan dijangka siap di dalam tempoh 4 tahun.

Walaubagaimanapun, projek ditangguhkan. Berdasarkan jawapan yang diberikan di parlimen, Jabatan Pengairan dan Saliran telah memohon perolehan tanah pada pada 29 Desember 2021 kepada Jabatan Tanah Survei. Jabatan Pengairan dan Saliran turut membincangkan perolehan Kuarters Kerajaan dengan Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak pada 5 Januari 2022 dan mesyuarat dilakukan pada 21 Januari 2022 bagi membincangkan isu perolehan tanah di 9 lokasi projek berkenaan.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui Kerajaan Sarawak telah merayu kepada Jabatan Tanah dan Survei pada 10 Januari 2022 untuk mempercepatkan proses perolehan kerana keperluan mendesak projek bagi menangani kekerapan banjir kilat yang sering melanda Kuching.

Pada Desember 2022, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Jabatan Perancang Negeri Sarawak bagi 9 lokasi projek. Kesemua projek terbabit telah menyiapkan proses rekabentuk dan dokumen perolehan sedang disediakan.

Proses tersebut pada permulaanya harus disiapkan pada 2020 tetapi ditangguhkan sehingga sekarang yang mana pembinaan fizikal projek akan bermula pada 2024 dan dijangka akan siap sepenuhnya di dalam tempoh 4 tahun.

Saya telah menyatakan rasa tidak puas hati dengan penangguhan projek dan mendesak agar langkah proaktif diambil pihak berwajib agar mempercepatkan proses kelulusan dan perolehan dilakukan secepat mungkin. Pembinaan harus dimulakan seawal yang mungkin agar ianya siap dalam tempoh singkat bagi memudahkan kehidupan rakyat.

Saya akan terus memantau dan mendesak agar setiap proses dipercepatkan. Penangguhan demi penangguhan tidak dapat diterima lagi kerana ianya akan membebankan rakyat khususnya semasa musim hujan.

Projek PLSB ini mungkin tidak dapat menyelesaikan semua masalah banjir kilat di Kuching kerana Kerajaan Persekutuan dan Negeri harus juga turut melihat isu keperluan pembinaan projek tebatan banjir sepanjang Sg Maong Kanan dan Sg Maong Kiri yang turut menuntut penyelesaian holistik.