Kerajaan Persekutuan harus mendedahkan secara telus mengenai formula yang dipersetujui dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak melibatkan geran khas Sabah dan Sarawak dibawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Di dalam mengalu – alukan perbelanjaan tambahan RM 300 juta daripada Kerajaan Perpaduan pimpinan YAB Dato Seri Anwar Ibrahim yang jelas memperlihatkan keikhlasan beliau dalam mendepani isu ketidakseimbangan pembangunan Sabah & Sarawak, saya turut menggesa agar formula yang diguna pakai kelak adalah formula yang bersih serta mampan dan tidak digunakan sambil lewa oleh kerajaan.
Geran Khas di bawah Perkara 112D sebelum ini tidak pernah dikaji semenjak 1969 oleh kerajaan terdahulu sekalipun tercatat jelas di dalam perlembagaan bahawa kajian harus dilakukan setiap 5 tahun sekali. Kajian dan perubahan hanya berlaku dibawah Pakatan Harapan dimana jumlah Geran Khas telah meningkat sekali ganda dan akan ditambah pada tahun berikutnya.
Saya amat mengalu – alukan tindakan Perdana Menteri yang meneruskan agenda ini yang telah dimulakan oleh Pakatan Harapan.
Walaubagaimanapun, selepas kejatuhan PH disebabkan oleh Langkah Sheraton, Geran Khas telah dikurangkan kepada angka asal seperti yang termaktub pada 1969 dan tidak ditambah sehingga baru – baru ini di bawah pimpinan kerajaan baru.
Oleh yang demikian, formula yang telus harus digarap bagi memastikan jumlah peruntukkan yang diberikan tidak akan turun naik berdasarkan pertimbangan politik semata – mata tetapi berlandaskan struktur peruntukkan yang jelas dan mampan pada dasarnya.
Dalam hal ini, Sabah mempunyai dasar yang jelas iaitu “40% kutipan persekutuan harus dikembalikan kepada Sabah”. Tetapi untuk Sarawak tidak diperincikan jumlah yang jelas di dalam perlembagaan. Oleh kerana itu, saya menyeru agar kerajaan mengambil langkah telus mengenai formula ini nanti apabila melibatkan Sarawak kerana perkara ini berkait rapat dengan kepentingan awam dan peri pentingnya kita menerima layanan yang saksama di bawah MA63.
Perkara ini turut melibatkan agar lebih banyak lagi anak Sarawak dan Sabah dilantikan sebagai wakil Lembaga LHDN agar mendapat gambaran jelas jumlah pungutan cukai dua wilayah ini sekaligus memastikan terlibat sama dalam menggarap formula pembahagian yang lebih adil.