YB Tuan Nga Kor Ming (YB KM), Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri telah bersetuju dan meluluskan cadangan mewujudkan Majlis Daerah Gedong, Sarawak.
Majlis Daerah Gedong akan mentadbir keseluruhan Daerah Gedong selaras dengan keputusan Kerajaan Sarawak yang telah melaksanakan persempadanan semula kawasan pentadbiran baharu Daerah Gedong berkuat kuasa 1 Mac 2022. Ketika ini, Daerah Gedong adalah terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Simunjan. Daerah Gedong seluas 612 kilometer persegi (km2) (61,200 hektar) dahulunya merupakan sebahagian daripada Daerah Simunjan yang berada dalam Bahagian Samarahan. Bilangan penduduk Daerah Gedong yang akan ditadbir oleh Majlis Daerah Gedong adalah seramai 14,424 orang dan DUN Gedong kini diwakili oleh Premier Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg.
Antara kriteria yang ditekankan oleh KPKT adalah seperti keperluan Majlis Daerah Gedong bagi menyediakan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada tahap yang cemerlang serta penyediaan kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang dapat dinikmati oleh warga Daerah Gedong. Penekanan kepada kriteria ini adalah bagi memastikan langkah pewujudan Majlis Daerah Gedong dapat memenuhi harapan dan kehendak Kerajaan Malaysia MADANI dan aspirasi rakyat serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat, meningkatkan daya saing negara dan kualiti hidup rakyat.
Menerusi keputusan kelulusan Jemaah Menteri untuk mewujudkan Majlis Daerah Gedong, negara kita kini mempunyai 156 buah PBT. Perkara ini juga diharapkan akan dapat membantu Kerajaan dalam pelaksanaan pelbagai projek dan program di Bahagian Samarahan yang diputuskan melalui Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (Integrated Regional Samarahan Development Agency – IRSDA). Ia juga dijangka akan merangsangkan lagi pertumbuhan sosioekonomi rakyat dan pembangunan di daerah Gedong khususnya.
KPKT berharap melalui kelulusan ini, Majlis Daerah Gedong dapat memberikan perkhidmatan PBT yang terbaik bagi memastikan manfaat pembangunan di Daerah Gedong dapat dinikmati oleh rakyat sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan untuk membina masyarakat yang berteraskan Malaysia MADANI.