Semalam, saya telah menerima notis Setiausaha Dewan Rakyat untuk menghadiri Mesyuarat Pertama, Penggal Ke-3, Parlimen Ke-14 Tahun 2020.
Syabas kepada kerajaan persekutuan kerana memenuhi tuntutan Perlembagaan memanggil sidang Parlimen tersebut.
Namun, saya berasa amat kecewa kerana kerajaan tidak membenarkan Ahli-ahli Parlimen menghantar soalan-soalan seperti biasa. Notis mesyuarat tersebut menyatakan antara lain bahawa:
“TIADA sesi Pertanyaan Lisan/Bertulis/Usul/Kamar Khas. Oleh yang demikian, semua Pemberitahuan tersebut tidak perlu dihantar untuk mesyuarat ini.”
Saya faham bahawa sesi ini hanya akan berlangsung selama sehari disebabkan wabak Covid-19.
Namun, kerajaan patut mengambil iktibar daripada kerajaan negeri Pulau Pinang yang telah memanggil sidang Dewan Undangan Negeri pada 17 April 2020.
Walaupun persidangan tersebut hanya berlangsung untuk setengah hari, namun para wakil rakyat negeri Pulau Pinang dibenarkan untuk menghantar soalan untuk dijawab secara bertulis.
Mengikut amalan Dewan Rakyat, seorang Ahli Parlimen boleh mengemukakan 10 soalan untuk dijawab secara lisan dan 5 soalan untuk dijawab secara bertulis.
Masakan dengan bilangan ahli pentadbiran antara yang paling ramai dalam sejarah negara iaitu seramai jumlah 69 Menteri dan Timbalan Menteri, tak kan kerajaan Perikatan Nasional tidak mampu untuk menjawab soalan-soalan Ahli Parlimen?
Adalah pentingnya dalam keadaan krisis untuk kerajaan bertindak secara telus dan wakil-wakil Rakyat dibenarkan untuk terus menjalankan tanggungjawab kami.
Semua jawapan kemudiannya boleh dihantar secara bertulis melalui emel kepada Ahli-ahli Dewan.