Skip to content

Kerajaan Persekutuan tidak munasabah dan membuli Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana Perhimpunan Bersih dengan mengharamkan tema Kerajaan BN sendiri pada tahun 1980an, iaitu “Bersih, Cekap, Amanah” walaupun tidak pernah bermasalah dengan tema berlainan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2010

Kedua-dua Menteri Pendidikan baru Datuk Seri Mahdzhir Khalid dan timbalannya Senator Datuk Chong Sin Woon harus dikutuk kerana menterbalikkan dasar pendidikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta apabila menjawat jawatan baru mereka. Pertamanya, Mahdzhir Khalid mengulangi amaran bahawa arahan pengharaman sekolah Pulau Pinang daripada mengambil bahagian dalam sambutan Hari Merdeka ke-58 yang dianjurkan oleh kerajaan negeri akan kekal.

Madhzhir meneruskan penterbalikan dasar pendidikan Tan Sri Muhyiddin apabila beliau berkata bahawa Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menangguhkan pelaksanaan syarat wajib lulus bahasa Inggeris dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana guru dan pelajar tidak bersedia. Kementerian Pendidikan telah menangguhkan syarat wajib lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM yang dijadualkan berkuat kuasa mulai tahun depan, iaitu dasar yang diputuskan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun 2013. Jika kepentingan bahasa Inggeris tidak ditekankan, ia hanya akan terus menghakis daya saing ekonomi Malaysia dalam persekitaran perdagangan global di mana bahasa Inggeris adalah lingua franca perniagaan antarabangsa.

Permainan politik tidak wajar mengorbankan daya saing ekonomi kita atau kanak-kanak sekolah yang tidak bersalah yang sudah biasa mengambil bahagian dalam sambutan Hari Merdeka setiap tahun. Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang telah mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua sekolah di negeri ini untuk tidak mengambil bahagian dalam apa-apa perayaan atau perarakan Merdeka ke-58 kerana kerajaan negeri telah memilih tema Merdeka, “Bersih, Cekap Amanah” (BCA).

Ini jelas perubahan daripada arah pendekatan Tan Sri Muhyiddin yang sebelum ini membenarkan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memilih tema Merdeka mereka sendiri tanpa apa-apa larangan kepada kanak-kanak sekolah yang mengambil bahagian. Pulau Pinang mempunyai tema Merdeka tersendiri sejak tahun 2010 (lihat jadual) tanpa sebarang masalah.

TEMA HARI KEMERDEKAAN

TAHUN TEMA
PULAU PINANG PUSAT
2008 (51) PERPADUAN TERAS KEJAYAAN PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
2009 (52) 1 MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN 1 MALAYSIA: RAKYAT DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN
2010 (53) M E R D E K A 1 MALAYSIA: MENJANA TRANSFORMASI
2011 (54) KERAJAAN BERJIWA RAKYAT MEMARTABATKAN RAKYAT 1 MALAYSIA: TRANSFORMASI BERJAYA RAKYAT SEJAHTERA
2012 (55) BUDAYA BERSIH MERDEKAKAN RAKYAT JANJI DITEPATI
2013 (56) NEGARAKU SELAMAT, BERSIH, HIJAU DAN SIHAT NEGARAKU BERDAULAT TANAH TUMPAHNYA DARAHKU
2014 (57) BERSATU DAN MAJU MALAYSIA: DISINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA
2015 (58) BERSIH, CEKAP, AMANAH # SEHATI SEJIWA

Mengapa tiada larangan dikenakan sejak 2010 tetapi hanya sekarang? Ini adalah sabotaj bermotifkan politik terhadap sambutan Merdeka oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Jelas, Kementerian Pendidikan sedang cuba untuk menghubungkan perkataan Bersih dengan protes aman yang dianjurkan pada 29-30 Ogos untuk membantah rasuah dan RM2.6 bilion yang disimpan dalam akaun peribadi Perdana Menteri. Ini merupakan semata-mata satu tindakan politik remeh yang tidak matang kerana perkataan “Bersih” digunakan dalam BCA. Adakah “Bersih” kini satu perkataan yang kotor, kesat dan lucah yang juga mesti diisytiharkan haram?

Mahdzhir Khalid berkata adalah tidak wajar bagi kepentingan perpaduan negara sekiranya kerajaan negeri mempunyai tema Hari Merdeka yang berbeza daripada yang telah diputuskan oleh kerajaan pusat, dan larangan itu hanya akan ditarik balik jika kerajaan negeri menerima pakai tema kerajaan pusat- BN iaitu “Sehati Sejiwa”. Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata saya telah mengkhianati Merdeka dengan memilih BCA manakala Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan juga berkata bahawa BCA adalah bertentangan dengan kepentingan negara.

Pengharaman seperti ini adalah tidak logik, tidak rasional dan juga tidak bertanggungjawab memandangkan tema BCA berasal daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau mula mengambil alih jawatan pada tahun 1981. BCA juga digunakan secara meluas dalam kepala surat kerajaan sebagai peringatan untuk menjadi bersih dan tidak rasuah. Mungkin sebab itu tidak ada sumbangan RM2.6 bilion yang disimpan di akaun peribadi Mahathir. Apakah Mahdzhir dan Kementerian Pendidikan kini mengatakan bahawa Tun Dr Mahathir adalah anti-nasional?

Kerajaan Persekutuan bersikap tidak munasabah dan membuli Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana perhimpunan Bersih dengan mengharamkan tema Kerajaan BN sendiri pada tahun 1980an, iaitu “Bersih, Cekap, Amanah” walaupun tidak pernah bermasalah dengan tema berlainan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2010. Justeru, murid sekolah Pulau Pinang akan dikorbankan secara sia-sia dan dilarang daripada mengambil bahagian dalam sambutan Merdeka ke-58 hanya kerana perkataan bahaya “Bersih, Cekap, Amanah” kini dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak.