Skip to content

Kerajaan PH mampu memperuntukkan RM290 juta untuk menaiktaraf perkhidmatan kesalinghubungan Internet di kawasan pedalaman dalam 152 tapak di seluruh Malaysia tanpa mengenakan caj perkhidmatan minimum 20 sen bagi pembelian bawah RM1,000

Kerajaan Pakatan Harapan(PH) mampu memperuntukkan RM290 juta untuk menaiktaraf perkhidmatan kesalinghubungan internet di kawasan pedalaman dalam 152 tapak di seluruh Malaysia tanpa mengenakan caj perkhidmatan minimum 20 sen bagi pembelian bawah RM1,000/-. Alasan yang diberikan oleh Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (KKMM) adalah tidak munasabah dan tidak logik. KKMM berkata, kerajaan akan mengenakan caj perkhidmatan 20 sen bagi pembelian atas talian di bawah RM1,000, dan 40 sen untuk pembelian melebihi RM1,000/-, untuk menambah baik pembangunan komunikasi di luar bandar.

Timbalan Menteri KKMM Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun, berkata bahawa, pembelian di bawah RM200 tidak akan dikenakan caj berkenaan manakala tambahan setiap 20 sen perlu dibayar pengguna bagi gandaan RM1,000 berikutnya. Syor ini tidak masuk akal apabila matlamat menambah baik pembangunan komunikasi luar bandar memang telah diusahakan oleh kerajaan PH di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (National Fiberisation Connectivity Plan atau NFCP).

NFCP sebanyak RM290 juta untuk 152 tapak pedalaman di seluruh negara, dirancang khusus untuk merapatkan jurang digital di antara kawasan bandar dan desa agar kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang yang sama-rata. Sehingga kini, Datuk Zahidi atau KKMM enggan melaporkan perkembangan dan status NFCP ini. Adakah NFCP dihentikan?

DAP membantah keras cadangan caj perkhidmatan ini kerana pengguna telahpun membayar fee capaian internet, mengapa perlu bayar lagi caj perkhidmatan baru ini. Datuk Zahidi tidak harus memandang rendah, sebaliknya perlu menghormati pengguna internet dalam negara dengan memberikan penjelasan penuh, termasuk rasional syor caj perkhidmatan baru untuk pembelian atas talian ini.