Pemerintah PN harus menggandakan atau melipatgandakan dana dan sumber yang dibelanjakan untuk melaksanakan sepenuhnya 3T – saringan, pengesanan dan rawatan bagi memastikan bahawa semua kontak rapat pesakit COVID-19 menjalani ujian saringan penuh. Disebabkan salah urus pandemik COVID-19 dan kurangnya sumber dan tenaga kerja oleh kerajaan PN, dianggarkan sekitar puluhan ribu kontak rapat pesakit COVID-19 yang “tidak dikesan”.
Pelaksanaan penuh 3T – saringan, pengesanan dan rawatan, termasuk ujian saringan penuh, paling berkesan dalam membendung penularan COVID-19. Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah mengesahkan bahawa ujian saringan tidak akan lagi dilakukan pada setiap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat pesakit positif Covid-19, dan sebaliknya hanya menyaring mereka yang menunjukkan gejala.
Bahaya tidak melakukan ujian saringan penuh pada semua kontak rapat dan individu yang tidak bergejala sangat nyata, kerana pesakit tanpa gejala boleh menjadi bergejala kemudian dan menyebarkan virus. Para saintis di Amerika Syarikat telah menemui bahawa penularan dari individu tanpa gejala dianggarkan menyumbang 59% dari semua penularan COVID-19. Ini dapat dilihat di Hospital Besar Pulau Pinang dengan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang tua, yang dijangkiti oleh anggota keluarga mereka yang lebih muda dan tidak bergejala.
“Kelonggaran” terhadap keputusan sebelum ini yang memerlukan ujian saringan penuh melibatkan semua kontak rapat tanpa gejala, adalah hasil dari sistem penjagaan kesihatan kita yang tidak dapat menangani peningkatan jumlah pesakit Covid-19. Jelas Menteri Kabinet harus bangun dari tidur dan melakukan tugas mereka untuk memberikan sokongan dan sumber penuh, dari segi peralatan dan tenaga kerja, kepada wira barisan hadapan negara dalam pertempuran hidup dan mati melawan COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah mengumumkan bahawa RM800 juta akan disediakan untuk wira barisan hadapan di Kementerian Kesihatan di bawah pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion untuk Perintah Kawalan Pergerakan kedua (PKP 2.0). Muhyiddin harus mengumumkan berapa banyak yang telah dibelanjakan oleh kerajaan untuk 3T dan jumlah tambahan yang diperlukan untuk mengembalikan ujian saringan penuh dan 3T.