Kesatuan Eropah (EU) bukan sahaja membuat penafian mengejutkan terhadap tuduhan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, bahawa EU membolot vaksin Covid-19, tetapi juga mendedahkan bahawa EU telah meluluskan pengeksportan lebih daripada lima juta dos vaksin untuk membantu Malaysia mempercepat program PICK. Sekiranya EU tidak membolot vaksin seperti yang didakwa oleh Khairy, ini menimbulkan persoalan penting tentang apa yang terjadi pada 5 juta dos tersebut dan bagaimana ia diberikan dan digunakan untuk rakyat Malaysia.
Duta Besar EU ke Malaysia Michalis Rokas menolak dakwaan Khairy sebagai tidak berasas kerana EU pada 15 Jun, telah menghantar sejumlah 4.87 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos vaksin AstraZeneca ke Malaysia. Rokas menambah bahawa pengeksportan lebih daripada 5 juta dos tersebut ke Malaysia telah diluluskan serta-merta, dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Jelas bahawa Kerajaan PN menyalahkan semua orang kecuali mereka sendiri terhadap Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang lemah, salah urus pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi. Kerajaan PN sangat tidak bertanggungjawab dan tidak kompeten apabila secara konsisten meneruskan naratif bahawa krisis kesihatan Covid-19, krisis ekonomi dan politik tidak ada kaitan dengan mereka.
Kegagalan untuk melaksanakan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang konsisten, mempercepat kelulusan vaksin dan pelaksanaan segera PICK adalah tanggungjawab Kerajaan PN sendiri. Namun, rakyat dan birokrasi telah dipersalahkan ke atas kegagalan dahsyat Kerajaan PN.
PN harus berani mengakui bahawa amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara VIP dan rakyat biasa serta pusingan U berulang dalam pematuhan SOP PKP telah mengakibatkan jumlah tertinggi jangkitan harian dan angka kematian. Dasar yang berubah-ubah antara Kementerian mengenai ekonomi dan perniagaan mana yang boleh atau tidak boleh beroperasi semasa PKP “total lockdown” memberi kesan yang buruk kepada perniagaan. Kegagalan untuk bergantung pada sains dan data melalui strategi FTTIS – Find-Test-Trace-Isolate-Support (Cari-Uji-Jejak-Asing-Sokong) yang efektif dan cekap seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), serta vaksinasi yang pantas telah menyumbang terhadap jumlah tertinggi jangkitan dan angka kematian.
Penjawat awam juga dijadikan kambing hitam terhadap kelulusan vaksin yang perlahan dan pelaksanaan PICK yang lembab, sedangkan pemimpin kerajaan sendiri yang gagal mendapatkan vaksin lebih awal yang seterusnya mengakibatkan kelewatan penghantaran. Dan pihak yang paling baru disalahkan adalah EU yang telah menjawab berdasarkan fakta dan angka bahawa tuduhan itu tidak berasas. Sekiranya ini adalah yang terbaik yang dapat dilakukan oleh PN, maka tidak hairanlah berlakunya kehilangan keyakinan dan defisit kepercayaan orang ramai.