Skip to content

Kerajaan Pusat perlu layani rakyat negeri Pulau Pinang secara saksama

Tiada sebab munasabah PR1MA diabaikan di negeri Pulau Pinang, berbanding fakta sememangnya wujud sebab untuk projek agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tidak diluluskan.

Saya merujuk kepada kenyataan oleh Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman pada 28.6.2015 yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meluluskan projek pemajuan perumahan mampu-milik oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti JKP Sdn Bhd. dan PERDA. Menurutnya, sekiranya projek-projek ini tidak diluluskan, maka perumahan mampu-milik di bawah PR1MA tidak akan dibina di Pulau Pinang.

Sebagai permulaan, ingin saya nyatakan bahawa saya berprinsip bahawasanya sebarang perbincangan seharusnya berdasarkan fakta yang tepat dan memanfaatkan rakyat, bukan sahaja Pulau Pinang tetapi keseluruhan negara Malaysia, berkenaan mana faktanya, di dalam kes ini, adalah seperti berikut:-

Projek agensi Kerajaan Persekutuan di Pulau Pinang bukannya 100% untuk perumahan mampu-milik sepertimana dikatakan.

Berkenaan isu ini, pertamanya, ingin saya menyatakan bahawa tohmahan kegagalan Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan projek pemajuan perumahan mampu-milik oleh agensi-agensi Persekutuan seperti JKP Sdn Bhd dan PERDA, adalah satu isu lama yang dikitar-semula (‘recycle’), yang mana adalah tidak tepat sama sekali dan sudahpun dibalas oleh saya sebelum ini, iaitu semenjak bulan Oktober, 2014.

Apa yang didakwa oleh Datuk Zainal, ialah, kononnya, pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah gagal untuk meluluskan 9,000 unit perumahan mampu-milik yang hendak dibina oleh agensi-agensi Persekutuan tersebut.

Sebenarnya, dakwaan ini dibuat oleh beliau melalui surat bertarikh 18.8.2014 kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, yang merujuk secara khusus, kepada 9,444 unit rumah mampu-milik yang dipohon kelulusan oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tersebut, yang dikatakan tidak diberikan kelulusan.

Untuk rekod, pertamanya, daripada maklumat yang diberikan oleh Datuk Zainal sendiri, beliau tidak menafikan hakikat bahawa kebanyakkan dan majoriti unit-unit tersebut adalah bukan unit perumahan mampu-milik, di mana ada unitnya yang berharga setinggi RM1.85 juta di bahagian Pulau dan RM800,000 di bahagian Seberang, yang adalah melebihi had siling mampu-milik negeri Pulau Pinang, iaitu RM400,000 di bahagian Pulau dan RM250,000 di bahagian Seberang.

Apakah harga RM1.85 juta dan RM800,000 ini merupakan harga ‘mampu-milik’ untuk unit perumahan untuk golongan yang sebenar-benarnya memerlukannya, menurut Kerajaan Persekutuan? Ini sudah tentunya tidak boleh diterima!

Keduanya, juga tidak dinafikan oleh Datuk Zainal sendiri bahawa untuk projek-projek PERDA, tanah untuk 3 projek adalah daripada pembelian dan 4 adalah melalui pengambilan-tanah untuk tujuan awam, manakala bagi projek JKP, tanah untuk 1 projeknya ialah yang dimiliki melalui pembelian dan 7 lagi adalah melalui pengambilan-tanah bagi tujuan awam.

Maka, adalah jelas bahawa unit perumahan tersebut bukan sahaja bukan merupakan unit yang berharga mampu-milik, walhal ia dibina di atas tanah yang diperolehi melalui pengambilan-tanah untuk tujuan awam, di dalam kes mana, sepatutnya dibina perumahan jenis kos rendah dan kos sederhana rendah sahaja.

Mesyuarat telahpun diadakan antara pihak saya dan Datuk Zainal bagi pihak Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang dan wakil-wakil agensi-agensi Persekutuan tersebut, di mana perkara ini telahpun dibincang secara panjang-lebar dan pendirian Kerajaan Negeri telahpun dipanjangkan kepada mereka.

Maka, adalah tidak tepat untuk Majlis Tindakan Persekutuan mengulangi tohmahan kononnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak meluluskan projek perumahan mampu-milik oleh agensi-agensi Persekutuan tersebut, memandangkan bahawa terdapat sebab-sebab yang tertentu di sebalik keputusan tersebut.

Malahan, ingin saya nyatakan untuk rekod, bahawasanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya telahpun bekerjasama dengan pihak agensi Kerajaan Persekutuan, di mana secara contoh, pihak JKP Sdn Bhd telahpun bukan sahaja dibantu menyelesaikan isu setinggan menurut piawaan yang diterima, tetapi juga diberi kelulusan untuk projek 100% mampu-miliknya, di Kampung Pisang Awak, Jelutong, di Pulau Pinang, yang merangkumi 192 unit rumah kos rendah; 192 unit rumah kos sederhana rendah dan 382 unit rumah mampu-milik.

Sekiranya agensi-agensi Persekutuan ini dapat menyelaraskan projek-projek mereka agar ia sebenarnya sesuai dengan polisi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mementingkan pembekalan perumahan mampu-milik kepada rakyat Negeri Pulau Pinang, maka Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia mempertimbangkannya.

PR1MA

Apa yang adalah mengejutkan ialah, untuk kali pertamanya, menurut kenyataan Datuk Zainal tersebut yang disiarkan di dalam media masa, ia telah dinyatakan bahawa perumahan mampu-milik PR1MA hanya akan dibina di negeri Pulau Pinang selepas 9,000 unit perumahan agensi Kerajaan Persekutuan ini diluluskan.

Berkenaan isu PR1MA, jawapan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Persekutuan terhadap pertanyaan saya secara berulang-kali mengapakah PR1MA belum dibina di negeri Pulau Pinang, ialah mereka masih di dalam proses mengenal-pasti tapak yang sesuai untuk didirikan perumahan mampu-milik PR1MA di negeri Pulau Pinang.

Berkenaan ini saya merujuk kepada surat bertarikh 25 November 2014 dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Bin Kasim, dan juga surat dari Dato’ Abdul Mutalib Alias, Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA yang bertarikh 13 Mei 2015, yang jelas sekali menyatakan bahawa PR1MA akan tiba di perpantaian negeri Pulau Pinang setelah lokasi yang sesuai dikenal-pasti.

Tidak sama sekalipun dinyatakan oleh mereka bahawa pembekalan perumahan mampu-milik di negeri Pulau Pinang di bawah PR1MA adalah tertakluk kepada syarat bahawasanya projek-projek oleh agensi-agensi Kerajaan Persekutuan tersebut diluluskan terlebih dahulu.

Maka, adalah perlunya dan imperatif, agar Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang memperjelaskan apakah sebenarnya hala-tuju Kerajaan Persekutuan berkenaan pembinaan perumahan mampu-milik di bawah PR1MA di Negeri Pulau Pinang!

Adalah diharapkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan menunaikan janjinya dan bukan sebaliknya, menganak-tirikan rakyat negeri Pulau Pinang di dalam pembekalan unit perumahan mampu-milik di negeri Pulau Pinang.

Rakyat Negeri Pulau Pinang yang merupakan pembayar cukai yang ketiga tertinggi di Malaysia, iaitu sejumlah RM6.9 billion pada tahun lalu kepada Kerajaan Persekutuan, sememangnya berhak kepada perumahan mampu-milik di bawah PR1MA oleh Kerajaan Persekutuan.

Malahan, untuk rekod, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya menunggu permohonan pembinaan perumahan mampu-milik di bawah PR1MA di negeri Pulau Pinang yang akan dipertimbangkan dengan prioriti.

Ingin saya ulangi fakta bahawa, berkenaan dengan penolakan kelulusan permohonan oleh agensi-agensi Persekutuan tersebut, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya mempunyai sebab yang kukuh sepertimana dihuraikan terlebih dahulu, berbanding dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan yang, sehingga kini, gagal membina seunit pun perumahan mampu-milik di negeri Pulau Pinang di bawah program PR1MA, yang adalah tanpa sebarang sebab.

Saya percaya bahawa logik dan sebab yang munasabah akan akhirnya menjulang. Maka, di dalam bulan Ramadhan yang Mulia ini,, saya dengan rendah diri memohon agar semua pihak, termasuk Kerajaan Persekutuan, dapat menangani isu pembekalan perumahan mampu-milik kepada golongan yang sebenar-benarnya memerlukannya, secara hemah, rasional dan berkepentingan keperluan golongan rakyat yang tersebut.

Sekian, semoga saudara-saudara saya yang beragama Islam dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan selamat dan sempurna.