Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membuat pengumuman untuk tidak membenarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengedar makan dan keperluan asas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menasihatkan NGO yang ingin menyumbang barangan keperluan atau makanan supaya menghantarnya ke pusat pengumpulan di pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai koordinasi dan komunikasi dengan jabatan berkenaan dan masyarakat sebelum membuat keputusan tersebut. Kerajaan didapati mempunyai pemahaman yang kurang lengkap berkenaan permasalahan ini.
Menurut Ismail, keputusan kerajaan dibuat untuk menjaga kepentingan dan keselamatan semua. Oleh kerana keadaan kerajaan yang kurang telus dan cekap, banyak NGO telah mengambil inisiatif mengedarkan makanan dan keperluan asas kepada golongan sasar sejak pelaksanaan arahan PKP pada 18 Mac 2020. Usaha ini tidak harus dilepas pandang oleh kerajaan.
Sebagai contoh, Pusat Komuniti DUN Johor Jaya dengan kerjasama beberapa pihak lain telah mengedarkan 500 bungkusan barang keperluan kepada keluarga kurang berkemampuan, warga emas, keluarga ibu dan bapa tunggal serta orang kurang upaya (OKU) sepanjang tempoh PKP.
Difahamkan bahawa ramai dari kalangan masyarakat tidak bergaji sepanjang tempoh PKP berdasarkan gaji dibayar secara harian. Oleh itu, mereka hanya bergantung kepada bantuan sumbangan daripada ahli parlimen, ADUN dan NGO seperti ini untuk memudahkan keluarga mendapatkan makanan dan keperluan harian.
Di samping itu, terdapat juga ramai gelandangan di kawasan bandaraya Johor Bahru. Sehingga kini, Jabatan Kebajikan Masyarakat masih belum menempatkan mereka di tempat yang sesuai dan gelandangan pun hanya bergantung kepada pek makanan yang disediakan oleh NGO-NGO. Dengan pengumumkan kerajaan ini, saya difahamkan NGO tersebut terpaksa berhenti menghantar makanan kepada golongan gelandang kerana tidak ingin melanggar arahan kerajaan.
Arahan baru kerajaan itu sendiri dapati kurang jelas mengenai mekanisme dan gerak kerja. Sebenarnya kami mempunyai senarai nama orang ramai yang masih sedang menunggu bantuan daripada kami. Adakah kami hanya tolak semua tanggunjawab kepada JKM dengan memberitahu orang yang sedang menunggu bantuan ini untuk pergi ke pejabat JKM sahaja? Ataupun kami masih boleh mengedarkan bantuan sedia ada dan JKM akan mengambil alih pengedaran seterusnya?
Sebagai mantan Exco negeri, saya tahu bahawa kerajaan mempunyai data lengkap kumpulan B40 untuk menyediakan bantuan yang mencukupi dengan mekanisme yang betul. Jadi, kerajaan sepatutnya sudah mempunyai mekanisme yang mantap sebelum membuat pengumuman untuk menghentikan pengedaran NGO dan bukan sekarang baru mula mencari penyelesaian (selepas 13 hari pelaksanaan PKP).
Kita harus mengucapkan terima kasih kepada NGO yang sentiasa proaktif dan sedia membantu. Saya menyeru supaya kerajaan dapat meneliti arahan ini dan bekerjasama dengan NGO dalam menyelaraskan sumber-sumber yang sedia ada bagi menjaga kebajikan sosial golongan sasar dengan cara yang lebih cekap.