Skip to content

Kerajaan tiada duit cari jalan jadikan rakyat sebagai mangsa

Umum mengetahui hutang luar negara Malaysia telah mencecah sebanyak RM 740.0 billion pada suku ketiga tahun lepas. Jumlah terkini juga turut didedahkan bahawa hutang kerajaan pusat mencecah RM582 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Pada asasnya hutang negara Malaysia, sudah tentu akan menjadi hutang rakyatnya. Semakin tinggi hutang negara Malaysia, maknanya semakin terbebanlah rakyat Malaysia di masa akan datang untuk menanggungnya.

Sebagai contohnya, perkara ini dapat dilihat dengan tindakan yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan Jalan menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan yang begitu tergesa-gesa dan tidak konsisten dalam melaksanakan undang-undang kesalahan nombor pendaftaran kenderaan di Malaysia.

Melalui jawapan yang diberikan oleh Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai dalam persidangan parlimen baru-baru ini, bagi kesalahan nombor pendaftaran kenderaan sahaja, sebanyak 12,161 jumlah saman telah dikeluarkan. Daripada jumlah tersebut sebanyak RM810,300.00 jumlah kutipan saman yang telah diperolehi. Ianya tidak meliputi kesalahan-kesalahan lain seperti gagal memakai tali pinggang keledar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, kesalahan cermin gelap dan sebagainya.

Ujarnya lagi, sudah 56 tahun undang-undang tersebut digunapakai namun sehingga kini masalah ini terus berlaku. Soalnya lagi, ini bermakna undang-undang ini perlu dikaji semula dan bukannya dibangkitkan atau diguna-pakai mengikut musim sahaja.

Justeru itu, saya berharap pelaksanaan undang-undang pengangkutan jalan bagi kesalahan nombor pendaftaran kenderaan dan kesalahan-kesalahan lain perlulah diselaraskan agar ianya tidak dijadikan alasan untuk mengutip wang rakyat bagi menampung hutang Negara.