Masalah dadah bukanlah isu yang baru di negara kita. Pengedaran dadah dan penyalahgunaan dadah diperangi oleh agensi-agensi penguatkuasa kerajaan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya. Tetapi, masalah ini tidak dapat dibendung. Malah, semakin hari semakin meningkat. Ini bermakna, kerajaan gagal menyelesaikan masalah ini walaupun jutaan ringgit diperuntukkan dalam bajet setiap tahun untuk memerangi najis dadah.
Dalam perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa, saya dengan tegasnya memberitahu Timbalan Menteri Dalam Negeri YB Datuk Nur Jazlan bahawa masalah dadah tidak boleh diselesaikan tanpa ‘political will’ kerajaan. Tetapi, adakah kerajaan benar-benar serius dalam menangani isu dadah ini?
Saya berpendapat bahawa pihak kerajaan lemah dalam isu membenteras dadah. Mungkinkah rasuah yang berleluasa di kalangan pegawai-pegawai penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjadi batu penghalang dalam usaha memerangi dadah?
Pertama sekali, kerajaan harus memastikan bahawa pegawai-pegawai yang ditanggungjawabkan untuk membenteras dadah adalah benar-benar bersih dan bebas daripada amalan rasuah. Ini adalah penting untuk mendapatkan keyakinan rakyat terhadap agensi-agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Rakyat berasa takut untuk membuat laporan kepada pihak penguatkuasa kerana sering terdapat amalan bocor rahsia. Ini menggugat keselamatan pengadu dan keluarganya. Pelbagai insiden telah berlaku sebelum ini mengeruhkan keadaan ini lagi. Pengadu tidak mempunyai jaminan untuk keselamatannya. Malah terdedah kepada ancaman daripada puak-puak yang terlibat dengan pengedaran dadah. Ini menyebabkan masyarakat di luar tidak berani mendedahkan kegiatan dadah di kampung-kampung atau kawasan kediaman mereka. Masing-masing tidak peduli tentang aktiviti-aktiviti haram ini.
Sesungguhnya masyarakat adalah entiti yang paling penting untuk membantu KDN menangani masalah dadah. Oleh yang demikian, KDN perlu memenangi hati rakyat dan memberi keyakinan kepada mereka. Jaminan keselamatan adalah penting untuk masyarakat tampil ke hadapan membantu kerajaan membenteras dadah sehingga ke lubang cacing.