Skip to content

Kerajaan tidak boleh berlengah-lengah dalam membuat keputusan terhadap samada lanjutan tempoh untuk kuatkuasa harga siling runcit dan borong untuk ayam standard akan disambung atau dihentikan selepas 5-6-2022

Kerajaan tidak boleh berlengah-lengah dalam membuat keputusan terhadap samada lanjutan tempoh untuk kuatkuasa harga siling runcit dan borong untuk ayam standard akan disambung atau dihentikan selepas 5-6-2022.

Kerajaan hendaklah segera membuat keputusan tersebut memandangkan kuatkuasa harga siling tersebut akan tamat dalam masa kurang dari dua minggu iaitu sehingga 5-6-2022.

Sebelum ini Kerajaan telah menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram dan harga siling borong ayam standard pada harga RM7.60 menerusi Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, yang berkuat kuasa selama 121 hari bermula 5 Februari hingga 5 Jun 2022.

Keyakinan penternak ayam terjejas berikutan kelewatan Kerajaan tersebut. Bekalan ayam dalam pasaran kurang kerana penternak kurang yakin dalam skema harga siling serta subsidi yang ditetapkan oleh Kerajaan. Subsidi kepada penternak ayam ialah RM0.60 sekilogram pada bulan Februari dan Mac dan ditambah kepada RM1.40 sekilogram pada bulan April dan Mei.

Keputusan terkini Kerajaan untuk menghentikan eksport ayam keluar negara tidak semestinya memberikan hasil seperti yang dirancang oleh Kerajaan memandangkan penternak ada pilihan untuk tidak menternak lebih banyak ayam sekiranya terdapat kerugian berterusan. Kerajaan sepatutnya menjalankan kawalan eksport secara kuota dan merangka Dasar Obligasi Dalam Negeri (Domestic Market Obligation), yang mana pengeluar perlu menjual sebahagian besar daripada produk mereka di pasaran tempatan dan boleh juga sebahagian kecil untuk pengeskportan supaya penternak-penternak ayam masih boleh mendapatkan keuntungan dari subsidi silang (cross subsidy) daripada pengeksportan untuk menampung kerugian daripada pembekalan ke pasaran tempatan.

Kerajaan juga digesa untuk membereskan semua pembayaran subsidi dalam bulan Mei ini juga sebelum tamatnya tempoh kawalan harga siling pada 5-6-2022.

Kerajaan hendaklah memberikan kepada keyakinan kepada penternak-penternak ayam supaya bekalan ternakan mencukupi untuk pasaran serta masih ada keuntungan serta motivasi untuk terus membekalkan ternakan ayam kepada pasaran tempatan.