Kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin menyatakan bahawa peniaga tidak patut menaikkan harga barang berikutan kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya di sekitar Lembah Klang menunjukkan keangkuhan kerajaan UMNO/BN. Beliau menyatakan demikian dengan memberi alasan kenaikan ini bukan melibatkan semua tol, tetapi hanya lebuh raya dalam Bandar sahaja dan bertanya berapa banyak lori yang pakai lebuh raya ini.
Saya ingin bertanya kepada Menteri adakah lori-lori yang menggunakan lebuh raya ini tidak perlu membayar ataupun tidak berdepan kenaikan harga? Sekiranya mereka terkesan, apakah rasional bagi menteri menghalang peniaga menaikkan harga barangan dengan kadar yang munasabah memandangkan kos pengangkutan terpaksa naik berikutan kenaikan tol yang dibenarkan oleh kerajaan pusat? Walaupun bukan semua lebuh raya terlibat, apa yang nyata adalah lebuh raya yang menaikkan harga merupakan lebuh raya yang utama di sekitar Lembah Klang. Kenyataan beliau seperti pepatah Cina yang membawa maksud Rakyat tidak dibenarkan untuk menyalakan lampu ketika kerajaan sedang membakar?
Kerajaan tidak patut membenarkan kenaikan harga yang membawa impak yang sangat besar berikutan kegawatan ekonomi yang di akibatkan oleh pentadbiran yang lemah oleh UMNO/BN yang telah melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan penyusutan Ringgit Malaysia. Alasan bahawa kenaikan kadar tol sebenarnya bertujuan membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak bantuan serta kemudahan kepada rakyat pada masa akan datang merupakan satu alasan lazim yang diberikan oleh kerajaan setiap kali kerajaan mengumumkan dasar yang meningkatkan beban rakyat jelata. Alasan yang sama diberikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 31hb Disember 2015 bagi menjelaskan sebab perlaksanaan GST pada 1hb April 2015.