Skip to content

Kerajaan tidak patut menganggap bahawa komuniti tempatan Ayer Keroh selamat daripada jangkitan virus dan hanya mensasarkan pekerja kilang dalam ujian calitan atau segala langkah membendung jangkitan Covid19 susulan daripada kluster ini

Dalam kenyataan Ketua Polis Melaka semalam (9 Julai 2021), 51 kes positif tersebut merupakan pekerja asing dari Selangor dan pihak majikan gagal mematuhi peraturan dengan mengaturkan saringan Covid19 sebelum pekerja asing tersebut dibawa masuk kerja. 【rujuk pautan 1

Ini bagai ‘kes import’ bagi Melaka, walaupun setakat ini tiada maklumat secara rasmi bilakah pekerja asing yang positif ini dibawa masuk dan mula berpenghuni di Ayer Keroh atau bekerja di kilang tersebut.

Apa yang lebih membimbangkan saya ialah kenyataan media Pengerusi Jawatankuasa Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Melaka, Ramli Mohd Ali yang menyatakan jumlah kes dalam kalangan pekerja adalah seramai 354 orang, termasuk 237 daripadanya warga asing.【rujuk pautan 2

Maklumat 354 atau 237 ini tidak dapat dikesan sepenuhnya dalam laporan kes harian KKM setakat ini (10 Julai 2021).

Sekiranya angka ini benar, mungkin kesemua atau sebahagian daripada angka ini berpunca daripada 51 kes positif ini – bermaksud kes 51 positif ini (walaupun ‘kes import’) telah mengakibatkan penularan dalam kalangan pekerja lain.

Kalau rujuk kenyataan saya pada 6 dan 8 Julai 2021 【rujuk pautan 3 & 4 】, saya sudah tanya soalan ini : Jangkitan berlaku di tempat kerja atau tempat tinggal? Atau kedua-duanya?

Setakat ini, tiada maklumat rasmi. Tapi besar mungkin ialah tempat tinggal, iaitu dalam komuniti.

Yang merisaukan saya ialah, kemungkinan komuniti tempatan terdedah kepada risiko menjangkit wabak ini dan kemungkinan PKPD bersasar ini yang hanya mensasarkan pekerja kilang tidak akan berkesan. Ini telah diterangkan dalam kenyataan saya pada 8 Julai 2021. 【rujuk pautan 4

354, 237 atau 51 pesakit positif ini mungkin telah berinteraksi dengan komuniti dalam kawasan Ayer Keroh sebelum mereka dikesan positif dan tindakan kuarantin diambil.

Walaupun ‘contact tracing’ seharusnya telah dilaksanakan dan kontak rapat telah dikenalpasti, adakah kerajaan 100% yakin bahawa tiada yang tercicir dalam proses ini, atau tiada pihak selain daripada kontak rapat yang dijangkit wabak ini yang sekarang berisiko menjangkitkan wabak ini kepada orang lain?

Ini bagai satu ‘time bomb’ kepada komuniti Ayer Keroh pada pandangan saya.

Ini juga kenapa saya kata dalam kenyataan saya pada 8 Julai 2021, kerajaan tidak patut menganggap bahawa komuniti tempatan Ayer Keroh selamat daripada jangkitan virus dan hanya mensasarkan pekerja kilang dalam ujian calitan atau segala langkah membendung jangkitan Covid19 susulan daripada kluster ini.