Skip to content

Kerajaan wajar membenarkan permohonan baharu untuk bantuan GKP Tambahan

Perdana Menteri telah mengumumkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan di bawah pakej PERMAI. Melalui inisiatif ini, PKS mikro seperti gerai makanan, kedai gunting rambut, dan penjaja-penjaja kecil akan menerima bantuan RM1,000 untuk membantu mereka mengharungi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Namun begitu, maklumat tambahan yang diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menyatakan bahawa GKP Tambahan hanya akan diberikan kepada penerima yang telah diluluskan di bawah GKP1.0 dan GKP2.0 pada tahun lepas.

Perkara ini adalah tidak adil kerana dua kumpulan besar akan terlepas daripada menerima bantuan GKP Tambahan ini.

Pertama, banyak peniaga kecil tidak dapat memohon untuk GKP pada tahun lepas kerana salah satu syarat permohonan GKP ialah perniagaan mereka perlu ditubuhkan dan didaftar sebelum 31 Ogos 2020.

Ini bermakna perniagaan-perniagaan kecil yang telah ditubuhkan dan didaftar selepas tarikh tersebut tidak diluluskan, dan mereka sekali lagi tidak akan menerima bantuan GKP Tambahan ini.

Sebagai contoh, baru-baru ini saya telah bertemu dengan En. Tan yang sebelum ini bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran di Melaka. Beliau kehilangan kerja pada November 2020 kerana restoran tersebut telah tutup. Beliau telah cuba mencari kerja lain tetapi tidak berjaya.

En. Tan kemudiannya mula berniaga dengan membuka sebuah gerai makanan kecil di sebuah medan selera. Namun, pendapatan daripada perniagaannya kurang memberangsangkan kerana PKP. Di bawah syarat GKP Tambahan, beliau tidak akan menerima bantuan RM1,000 tersebut kerana perniagaan beliau didaftarkan selepas 31 Ogos 202.

Kedua, terdapat sebilangan peniaga yang layak untuk menerima GKP pada tahun lepas tetapi mereka tidak sempat mengemukakan permohonan atas sebab-sebab tertentu.

Contohnya, pejabat saya telah menerima sebuah rayuan daripada En. Mazlan. Beliau merupakan seorang penjaja cenderamata di kawasan pelancongan di Melaka. Beliau kesal kerana terlepas pandang terhadap tarikh tutup permohonan GKP pada tahun lepas walaupun beliau memenuhi semua syarat kelayakan.

En. Mazlan sedang bertungkus-lumus menyara keluarga beliau kerana sektor pelancongan telah teruk terjejas oleh PKP. Walaupun beliau cuai kerana tidak mengemukakan permohonan GKP pada tahun lepas, beliau tidak wajar dihukum untuk kali kedua dalam isu GKP tambahan ini.

Oleh itu, saya menyeru supaya pihak kerajaan mengkaji semula kriteria untuk bantuan GKP Tambahan.

Khususnya, kerajaan wajar membenarkan perniaga-peniaga baharu yang mendaftar selepas 31 Ogos 2020 dan mereka yang tercicir pada GKP tahun lepas untuk mengemukakan permohonan baharu untuk GKP Tambahan.

Perniagaan-perniagaan kecil, terutamanya mereka yang dikategorikan sebagai bekerja sendiri, adalah antara golongan yang paling teruk terkesan oleh PKP dan keadaan ekonomi yang masih tidak menentu. Kerajaan harus memastikan segala bantuan sampai kepada mereka secara efektif dan adil.