Saya mencadangkan kerajaan wajar mengaktifkan semula “Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti” semasa menyertai perbahasan mengenai pindaan RUU Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) di Parlimen hari ini dengan tujuan meneruskan usaha menuju pemansuhan AUKU secara menyeluruh.
Kewujudan Akta AUKU adalah hasil usaha kerajaan pada masa 1970-an untuk menyekat gerakan mahasiswa, ekoran berlakunya Peristiwa Baling dan Tasek Utara. Sejak itu, Akta ini telah menjadi simbolik dalam menyekat kebebasan bersuara mahasiswa dan ahli akademik.
Walaupun AUKU telah mengalami 8 kali pindaan, 2 pindaan AUKU yang terdekat ini telah menuju ke arah kemajuan tetapi hak autonomi pelajar masih belum dipulihkan sepenuhnya.
Sebelum penggubalan AUKU, mahasiswa Universiti Malaya melalui Kesatuan Mahasiswa (Students Union) telah berjaya mengurus kampus dengan berkesan. Namun, Majlis Perwakilan Pelajar masa kini lebih banyak berfungsi sebagai pelengkap bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Pada era kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018, Menteri Pendidikan ketika itu, Dr. Maszlee Malik telah menubuhkan “Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti” dan telah mengemukakan 6 dokumen dasar pada tahun 2019.
Oleh itu, saya menggesa kerajaan mengaktifkan semula “Jawatankuasa Teknikal Mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti” dan meneruskan usaha menuju ke arah pemansuhan AUKU secara menyeluruh bagi membolehkan mahasiswa dan ahli akademik mendapatkan kembali hak autonomi mereka supaya mencipta lingkungan yang lebih bebas dan kondusif untuk pertukaran pemikiran antara pelajar dan ahli akademik.