Respons dingin dan tidak berhati perut Menteri Sumber Manusia M Saravanan terhadap kemarahan rakyat terhadap kerajaan kerana mengadakan pilihan raya umum semasa musim banjir dengan berkata “biar rakyat marah” menunjukkan betapa terpisah kerajaan BN sekarang daripada rakyat. Respons tidak berperasaan “biar rakyat marah” ini mengingatkan kenyataan klasik oleh Ratu Perancis Marie Antoinette semasa Revolusi Perancis yang apabila diberitahu bahawa rakyat tidak cukup roti untuk dimakan, dia kemudian berkata, “biar mereka makan kek”.
Sikap yang tidak berperasaan dan memperkecilkan kemungkinan kehilangan nyawa dan harta benda semasa musim banjir telah membuktikan secara jelas bahawa kerajaan Persekutuan sekarang tidak layak untuk menjadi kerajaan apabila ia tidak mengambil berat tentang rakyat tetapi hanya mahu mengekalkan kuasa dengan segala cara. Saravanan kemudian menafikan pilihan raya akan diadakan pada musim banjir kerana Jabatan Meteorologi berkata banjir mungkin berlaku selepas 15 November hingga Januari tahun depan. Saravanan menambah, sekiranya Parlimen dibubarkan esok maka pilihan raya akan diadakan sebelum minggu pertama atau kedua November.
Saravanan nampaknya terlupa peringatan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 29 September lalu bahawa negara akan melalui fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober hingga akhir November. MetMalaysia menyatakan bahawa semasa fasa peralihan monsun ini, negara akan menghadapi ribut petir yang berpotensi menyebabkan banjir kilat.
Saintis Universiti Putra Malaysia Haliza Abdul Rahman, pakar perubahan iklim, telah mencadangkan supaya pilihan raya umum ke-15 diadakan selepas Februari, dengan memberi amaran bahawa keadaan banjir semasa musim tengkujuh pada akhir tahun ini mungkin lebih buruk daripada pada 2021. Ini selaras dengan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, dan Pahang dari November hingga Disember manakala Johor, Sabah, dan Sarawak dari Disember hingga Januari tahun depan.
Jika ahli politik BN daripada UMNO dan Saravanan yang mementingkan diri sendiri merasakan mereka lebih tahu daripada pakar, dan sanggup mempertaruhkan nyawa dan harta benda rakyat Malaysia demi mencapai kepentingan politik mereka sendiri, maka pengundi harus memberi pengajaran kepada mereka kerana berdegil dan bertegas untuk mengadakan pilihan raya semasa musim banjir. Lebih teruk lagi, kerajaan sehingga kini gagal menyatakan rancangan kontingensi banjir mereka semasa pilihan raya dan sama ada sebarang pilihan raya yang diadakan perlu ditangguhkan sekiranya berlaku banjir.
Malah Kedutaan AS telah mengeluarkan amaran kepada rakyatnya tentang banjir di Malaysia. Jelas sekali Kedutaan AS lebih bertanggungjawab daripada kerajaan Malaysia dalam menjaga rakyat masing-masing. Perdana Menteri Ismail Sabri harus mengambil iktibar daripada keprihatinan mengenai situasi banjir oleh Yang di-Pertuan Agong yang melawat Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara di Ampang hari ini.