Skip to content

Kerjasama Kerajaan Perpaduan Anwar dan PAS untuk menyelesaikan masalah air dan kekurangan pembangunan selama 60 tahun di Kelantan, Terengganu, dan Kedah adalah cadangan yang berbaloi untuk dipertimbangkan demi rakyat di ketiga-tiga negeri ini, tetapi perkara ini adalah cadangan peribadi saya dan bukannya cadangan DAP

Saya ingin berterima kasih kepada Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man di atas maklum balasnya mengenai cadangan untuk PAS bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan Anwar untuk menyelesaikan isu yang telah berlanjutan dan saya ambil maklum kenyataan Tuan Ibrahim yang mengatakan bahawa PAS “tidak mempunyai apa-apa isu peribadi (dengan DAP) tetapi kami akan berpegang dengan janji yang dibuat dengan rakyat semasa kempen pilihan raya, dan kami tidak akan menipu pengundi dengan meninggalkan Perikatan Nasional (PN)”.

Pertamanya, izinkan saya untuk jelaskan yang cadangan kerjasama di antara Kerajaan Perpaduan Anwar dan PAS untuk menyelesaikan isu masalah air dan kekurangan pembangunan yang telah berlanjutan selama 60 tahun di Kelantan, Terengganu, dan Kedah ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan DAP memandangkan saya belum membincangkan perkara ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin DAP yang lain.

Malah, perkara ini merupakan sebab mengapa saya menolak cadangan Anthony Loke untuk melantik saya sebagai mentor DAP kerana saya ingin bebas memberikan pandangan dan idea peribadi mengenai situasi politik semasa, baik di peringkat kebangsaan atau antarabangsa, tanpa perlu melibatkan DAP secara langsung.

Saya percaya yang usaha saya selama setahun telah membuktikan perkara ini dan penjelasan ini patut mengukuhkan lagi perkara ini tanpa sebarang keraguan.

Baru-baru ini, ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusoff, telah membuat komen yang tepat mengenai kualiti air yang teruk, jalan yang sempit dan berlubang, dan sampah yang tidak dikutip di Kelantan. Perkara ini merupakan satu penindasan yang telah berlanjutan selama lebih 60 tahun, bukan sahaja kepada rakyat Kelantan, tetapi juga kepada Malaysia apabila perkara buruk seperti ini dibiarkan untuk berterusan sedangkan isu-isu memerlukan penyelesaian segera.

Saya menghormati pandangan Tuan Ibrahim mengenai cadangan saya ini tetapi saya percaya penting untuk kita selesaikan masalah kemiskinan dan kekurangan pembangunan di Kelantan, Terengganu, dan Kedah sekiranya Malaysia hendak menjadi sebuah negara maju. Tetapi saya menyatakan perkara ini sebagai pandangan peribadi saya dan bukannya sebagai cadangan dari DAP kerana saya telahpun bersara dari barisan hadapan pimpinan DAP.

Saya boleh bersetuju dengan Tuan Ibrahim mengenai cadangan saya ini dan perkara ini menjadi contoh di mana para pemimpin politik boleh untuk tidak bersetuju dengan baik tanpa perlu turun ke kancah penipuan, fitnah, berita palsu, dan tuduhan tanpa bukti dan tidak masuk akal di antara satu sama lain.