Skip to content

Kerjasama semua pihak diperlukan untuk mengatasi krisis kekurangan air yang kita hadapi sekarang

Ekoran musim kemarau yang berpanjangan beberapa minggu kebelakangan ini paras air di Sungai Sembrong Kecil telah menyusut sehingga paras yang membimbangkan. Saya telah melawat ke Sungai Sembrong Kecil dan mendapati paras air Sungai tersebut telah turun ke paras kurang daripada 1 meter yang hampir mencecah paras kritikal.

Sungai Sembrong Kecil merupakan sumber air mentah bagi Loji Rawatan Air Sembrong Timur. Kapasiti Loji Sembrong Timur yang menghasilkan air terawat sebanyak 30 juta liter sehari (MLD) membekalkan air terawat kepada lebih kurang satu pertiga keperluan penduduk sekitar Bandar Kluang. Mengikut pengalaman yang lepas, sekiranya keadaan sebegini berterusan besar kemungkinan besar catuan terpaksa dilaksanakan di sekitar Kluang.

Penduduk Kluang yang merupakan pengguna dan pelanggan SAJ sehrusnya dimaklumkan tentang senario yang bakal dihadapi mereka. Bagaimana pun, rakyat Kluang masih belum dimaklumakan tentang keadaan semasa pembekalan air di Kluang supaya kita dapat membuat persediaan awal untuk menghadapi catuan air yang mungkin dilaksanakan di sekitar Kluang.

Saya menyeru pihak-pihak berkenaan termasuk pihak SAJ, Kerajaan Negeri atau pun SPAN dengan kadar secepat yang mungkin mengumumkan keadaan semasa pembekalan air di seluruh negeri khasnya di sekitar Kluang. Pihak-pihak yang tersebut juga diseru memaklumkan seluruh rakyat Johor rancangan dan nasihat untuk menghadapi krisis pembekalan air yang bakal dihadapi ini.

Pada masa yang sama, saya ingin mencadangkan pihak kerajaan untuk memaklumkan seluruh rakyat paras sungai atau empangan yang menjadi sumber air kepada loji-loji rawatan air supaya kita dapat mengetahui keadaan semasa sumber air mentah yang merupakan elemen penting dalam kehidupan harian kita.

Kerjasama semua pihak termasuk SAJ, kerajaan negeri, SPAN dan juga pengguna adalah harus supaya kita dapat mengatasi krisis kekurangan air yang kita hadapi sekarang.