Kerusi parlimen Sabah dan Sarawak mesti ditambah segera kepada 35% daripada jumlah kerusi parlimen untuk menyekat sentimen perkauman dan ekstrem secara terang-terangan dimainkan oleh BN dan PN bagi menutup kegagalan pengurusan ekonomi mereka yang telah menyusahkan rakyat dan perniagaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah mengecewakan ramai pihak apabila berkata cadangan itu tidak sempat dilaksanakan sebelum pilihan raya umum ke-15.
Bagaimanapun, ini tidak seharusnya menghalang pindaan perlembagaan di Parlimen untuk melaksanakan peruntukan 35% yang telah diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri ini. Cadangan ini harus dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan sekarang, untuk dilaksanakan pada masa hadapan pada pilihan raya umum yang seterusnya. Cadangan ini bukanlah sesuatu yang kontroversi mahupun menimbulkan perbalahan kerana setakat ini tiada parti politik yang berani menentang tambahan bilangan kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak daripada 25% sekarang kepada 35%.
PH akan menyokong pindaan perlembagaan sedemikian yang dengan itu memastikan kelulusannya dengan majoriti 2/3 yang diperlukan. Ini sama seperti sokongan awal PH terhadap pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah yang sama dengan Semenanjung Malaysia, seperti yang digariskan di dalam Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara pemimpin PH dan Perdana Menteri pada September 2021.
Memasukkan peruntukan 35% dalam Perlembagaan Persekutuan adalah penting apabila BN dan PN, termasuk Menteri-menteri bukan Islam di dalam Kabinet, berdiam diri dan memberikan sokongan tersirat mereka kepada ekstremisme dan perkauman secara terang-terangan oleh PAS yang berisiko menghakis hak orang bukan Islam. PAS secara terbukan mencampuri dan menganggu gaya hidup, kebiasaan adat, dan amalan budaya orang bukan Islam.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah mengancam perpaduan nasional dan mengganggu-gugat keharmonian agama dengan kenyataan perkauman dan ekstremis terhadap kumpulan minoriti, yang terbaru dengan menghina orang bukan Islam dengan tuduhan palsu sebagai punca rasuah di Malaysia. Walaupun pelbagai laporan polis telah dibuat di seluruh negara, rakyat masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa.
Menggunakan perkauman dan ekstremisme adalah cara yang berguna dalam menutup kegagalan pengurusan ekonomi dan ketidakcekapan Menteri yang telah membawa kepada kesusahan kewangan yang disebabkan oleh inflasi yang meningkat, nilai ringgit yang menyusut dengan pantas sehingga jatuh ke paras terendah di dalam 24 tahun RM4.54 kepada dolar AS semalam, kekurangan buruh yang teruk, penggubalan dasar yang tidak konsisten dan berubah-ubah, kerenah birokrasi dan tadbir urus yang lemah. Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak tidak mampu membiarkan golongan rasis dan ekstremis mentadbir dan merosakkan negara ini.