Kejadian yang menimpa seorang wanita yang diganggu secara seksual oleh seorang pegawai polis dalam sebuah sekatan jalanraya di Jalan Duta baru-baru ini adalah amat dikesali, apatah lagi ia datang dari seorang yang sepatutnya menjaga keselamatan orang awam apatah lagi seorang wanita. Golongan wanita seharusnya dilindungi dan dihormati oleh semua pihak. Pandang dan layani wanita itu bagaikan ibu, adik atau anak sendiri.
Gangguan seksual berupa perkataan lucah sudah cukup untuk membuatkan wanita tersebut merasa tidak selesa, marah juga ketakutan sehingga memandu kereta dalam keadaan yang masih trauma dan tentu sahaja boleh mengundang kecelakaan yang lebih parah selain dari kecederaan emosi dan mental yang baru beliau lalui.
Kami mahu kejadiaan ini diambil perhatian serius dan disiasat dengan segera oleh pihak yang bertanggunjawab khususnya PDRM kerana kejadian ini melibatkan seorang pegawai polis.
Kami juga mendesak supaya RUU Gangguan Seksual yang telah tertangguh sekian lama, segera dibentangkan oleh Menteri KPWKM didalam sesi Parlimen yang akan datang, dibahas dan diluluskan, agar orang awam khususnya wanita dan gadis akan merasa lebih selamat dan dilindungi.
Kerajaan wajar mengambil inisiatif dengan menyediakan lebih banyak latihan dan kursus mengenai kepekaan gender kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa dari semasa ke semasa agar insiden seperti ini tidak lagi berulang.