Saya berasa amat kesal terhadap kenyataan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid mengenai pemotongan bajet untuk kementerian pendidikan menjejaskan peruntukan bagi penyenggaraan dan pembangunan untuk sekolah-sekolah rendah Cina pada tahun ini yang dilaporkan oleh China Press pada 19.12.2016.
Peruntukan bagi Penyenggaraan dan pembangunan untuk semua jenis aliran sekolah bagi tahun 2016 telah pun dijanjikan oleh YAB Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat pada 23 Oktober 2015.
Tetapi, sehingga hari ini, saya difahamkan bukan sahaja 800 sekolah-sekolah rendah Cina belum dapat peruntukan yang telah dijanjikan, tetapi, Sekokah Menengah Jenis Kebangsaan Cina atau Conforming School juga masih belum menerima sebarangan peruntukan pada tahun ini. Ini merupakan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan anak-anak pelajar di negara kita dan ia perlu diperbetulkan dengan kadar yang segera.
Pada masa yang sama, kegagalan pihak Kerajaan menunaikan janji mereka dalam peruntukan Penyenggaraan dan pembangunan untuk sekolah bagi tahun 2016 telah menimbul persoalan bahawa “adakah peruntukan sebanyak RM500 juta telah disalurkan kepada semua sekolah?”
Jikalau 800 sekolah-sekolah rendah Cina masih belum menerima peruntukan tersebut, saya yakin kemungkinan besar kebanyakan sekolah-sekokah Kebangsaan, sekolah rendah Tamil dan sebagainya masih belum menerima peruntukan pada tahun ini.
Jadi dalam perkara ini, pihak Menteri Pendidikan haruslah mengemukakan senarai semua sekolah yang telah menerima peruntukan sebanyak RM500 juta untuk memastikan peruntukan ini benar-benar diturunkan kepada semua sekolah. Selain itu, pengemukaan senarai penerima juga dapat menjamin ketelusan dan juga dapat mengelakkan peruntukan tersebut disalahguna.
Saya juga ingin menarik perhatian Menteri Pendidikan bahawa Peruntukan bagi Penyenggaraan dan pembangunan untuk semua jenis aliran sekolah ini adalah satu janji Kerajaan semasa pembentangan Bajet 2016 di Parlimen ketika 23 Oktober 2015. Jikalau kerajaan gagal menunaikan janji ini, ia bercanggah dengan dengan tema “Janji Ditepati” yang sering dilaungkan oleh Barisan National.
Sebagai contoh, jikalau Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan tidak menerima gaji atau elaun bulanan mereka, sudah tentu mereka akan membuat aduan atau semakan kepada Kementerian Kewangan dalam kadar yang segera tetapi bukanlah selepas setahun tidak menerima gaji dan elaun bulanan mereka.
“Ambil dulu mana yang ada” bukan satu jalan penyelesaian. Kerana masalah kekurangan atau kelewatan menyalurkan peruntukan ini sepatutnya dapat dikesan dan diperbetulkan ketika tengah tahun 2016 ataupun lebih awal.
Walaubagaimanapun, saya amat berharap pihak Kementerian Pendidikan dapat memandang serius terhadap isu kekurangan peruntukan ini, sebab kebanyakan sekolah masih sedang menanti peruntukan ini untuk membuat kerja-kerja penyenggeraan demi keselesaan, keselamatan dan kepentingan para guru dan juga anak-anak pelajar kita.