Ramai rakyat Malaysia mengadu bahawa kebanyakan daripada 32 Menteri, 38 Timbalan Menteri dan penasihat-penasihat khas kepada Perdana Menteri di bawah Kerajaan BN/PN yang mengambil gaji besar atas perbelanjaan rakyat adalah tidak berprestasi dan tidak cekap.
Sikap tidak masuk akal dan ketidakcekapan mereka ditonjolkan dan digambarkan dengan bagi ketara apabila Kerajaan BN/PN baru-baru ini memperkenalkan pindaan kepada Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010 yang jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang jenayah. Daripada menghapuskan kesalahan yang tidak masuk akal, Kerajaan BN/PN mempertingkatkan hukuman mereka di bawah Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010. Antara pindaan-pindaan yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini adalah seperti berikut:-
- Terlupa membawa atau tidak mempamerkan lesen boleh dihukum denda sehingga RM50,000-00 dan/atau penjara sehingga 3 tahun (Seksyen 17). Seharusnya seseorang itu tidak dihukum jika orang itu boleh menunjukkan bahawa dia mempunyai lesen yang sah. Jika kita mahu menjadikannya satu kesalahan, hukumannya tidak sepatutnya terlalu berat kerana orang itu tidak menyebabkan apa-apa kemudaratan kepada masyarakat.
- Jika seseorang tidak memulangkan lesen yang telah tamat tempoh dalam tempoh 14 hari selepas tamat tempohnya, dia boleh dihukum dengan denda sehingga RM50,000-00 dan/atau penjara sehingga 3 tahun (Seksyen 22). Lesen yang telah tamat tempoh merupakan sekeping kertas buangan. Bagaimanakah hukuman yang begitu berat boleh dikenakan semata-mata kerana tidak memulangkan sekeping kertas buangan? Sebenarnya tidak ada keperluan untuk memulangkan lesen yang telah tamat tempoh dan ia tidak boleh dijadikan satu kesalahan.
- Mencacatkan atau merosakkan lesen boleh dihukum denda sehingga RM100,000-00 dan/atau penjara sehingga 7 tahun. Denda dinaikkan kepada tidak melebihi RM200,000-00 jika pesalah adalah satu pertubuhan/perbadanan (Seksyen 25A). Bilakah sekeping lesen menjadi satu barang suci dan mencacatkan atau merosakkannya boleh menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman yang begitu berat?
- Mengambil, mengganggu atau merosakkan sarang atau telur mana-mana hidupan liar, atau mengganggu, memotong, mengalih atau mengambil mana-mana tanah, kayu atau tumbuh-tumbuhan dalam rizab/tempat perlindungan hidupan liar boleh dihukum sehingga RM1.0 Juta dan/atau penjara sehingga 10 tahun (Seksyen 49). Perbuatan salah sebegini tidak harus dikenakan dengan hukuman yang begitu berat.
Akta pindaan tersebut juga telah menaikkan penalti secara sembarangan bagi banyak lagi kesalahan-kesalahan yang lain.
Hukuman mestilah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Pengalaman memberitahu kita bahawa hukuman yang terlalu berat adalah tidak adil dan juga akan menggalakkan amalan rasuah.
Apa yang lebih membingungkan saya ialah apabila saya membangkitkan kemustahilan pindaan-pindaan ini, Menteri BN/PN, Datuk Seri Haji Takiyuddin Bin Hassan membalas bahawa jika saya tidak berpuas hati dengan pindaan-pindaan itu saya boleh mencabarnya di mahkamah! Dia nampaknya tidak memahami fungsi asas Parlimen dan Mahkamah! Parlimen memutuskan sama ada sesuatu tindakan itu satu kesalahan. Mahkamah akan membuat keputusan mengikut undang-undang yang digubal oleh Parlimen. Jika Parlimen memutuskan bahawa tidak memulangkan lesen yang telah tamat tempoh dalam masa 14 hari dari tarikh tamat tempohnya adalah satu kesalahan, mahkamah tidak mempunyai pilihan lain selain membuat keputusan bahawa sesuatu kesalahan telah dilakukan dan sebaliknya jika Parlimen tidak menjadikannya satu kesalahan.
Saya menyeru rakyat untuk menolak kerajaan BN/PN yang tidak cekap ini pada pilihan raya Melaka yang akan diadakan pada 20 November 2021 (Sabtu) ini dan pada pilihan raya umum akan datang.
Ini merupakan satu kes yang sesuai yang memerlukan campur tangan Dewan Negara. Saya menyeru Dewan Negara untuk menolak rang undang-undang pindaan ini apabila ia dibentangkan untuk kelulusan Dewan Negara.