Frasa-frasa seperti “dadah musuh negara” ataupun “jauhi dadah” sering terpapar di kaca televisyen dan sentiasa kita dengari di corong-corong radio. Tapi adakah kita pernah didedahkan dengan cerita-cerita berkenaan kepayahan untuk pulih dari dadah?
Baru-baru ini, saya telah mendapat informasi berkenaan Ah Yee, seorang gelandangan di Kepong Baru. Beberapa orang telah melaporkan berkenaan keadaan kehidupannya kepada saya. Mereka sering ternampak dia tidur di kaki lima di bangunan-bangunan di sekitar Kepong.
Sejurus mendapat tahu berita tersebut, saya cuba untuk bertemu dengannya untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan keadaan hidupnya. Pada hari pertama saya cuba melawat dia, dia tidak dapat ditemui. Saya telah melawat sebuah pondok buruk yang dibina daripada bahan-bahan seperti kain terpakai dan kotak-kotak. Basikalnya juga ada diparkir bersebelahan pondok buruknya itu. Saya tunggu di kawasan tersebut untuk beberapa ketika, mengharapkan dia pulang. Setelah lama menunggu tanpa ada yang muncul, saya mengambil keputusan untuk mencari dia pada keesokan harinya.
Keesokannya, sewaktu saya sampai di pondok buruk miliknya, dia sedang membentuk cebisan-cebisan kecil kerajang aluminum. Saya anggarkan dia baru hendak berlayar di dalam alam khayalan dadah. Sebelum sempat dia melakukan apa-apa, saya telah menegurnya dan mengajaknya berbual.
Ah Yee memaklumkan kepada saya yang sebelum ini, dia pernah bekerja sebagai seorang tukang cat. Penglibatannya di dalam kancah dadah bermula pada tahun 2002, dan ketika itu dia mengambil ice (methamphetamine), atau nama popularnya, ‘batu’. Hampir setiap hari sehingga kini, dia mengambil bahan tersebut. Katanya, bahan tersebut mudah didapati dan harganya juga murah. Hampir setiap hari, dia akan berbelanja RM20, khas untuk membeli batu sahaja.
Ah Yee juga memaklumkan kepada saya yang dia akan menjual sampah-sampah yang boleh dikitar semula untuk mendapatkan wang. Kadang-kala, dia akan meminta dari adik beradiknya wang dan makanan sekiranya dia benar-benar terdesak.
Saya telah menawarkan dia bantuan untuk menempatkan dia di pusat gelandangan, dengan syarat, dia tidak lagi boleh mengambil bahan tersebut. Dia membalas tawaran saya dengan soalan “rokok boleh?”. Saya kata tidak dan jawapan darinya adalah “nanti saya fikir dulu lah macam mana…” Dalam situasi tersebut, saya tiada kuasa untuk memaksa dia menerima bantuan yang ditawarkan. Oleh itu, saya mengambil langkah untuk beransur. Dari jauh saya lihat dia menyalakan sebatang rokok, sambil merenung jauh.
Untuk keluar dari kancah dadah bukanlah perkara yang mudah. Di dalam kes Ah Yee, dia adalah seorang penagih dadah jenis ‘batu’. Jika dibandingkan dengan dadah-dadah yang lain, batu adalah antara dadah yang mudah untuk dibikin dan impak ketagihan dadah ini lain daripada dadah-dadah seperti ganja dan ekstasi.
Kadar kebergantungan yang dialami oleh pengguna dadah ‘batu’ ini amat tinggi. Tokan-tokan dadah menggunakan kesempatan ini untuk menjual dadah ini secara berterusan kepada pengguna-penggunanya. Ada beberapa situasi di mana pengguna-pengguna ini sudah ketagih, mereka sanggup gadaikan segala harta mereka kepada tokan-tokan dadah, semata-mata untuk mengguna dadah tersebut. Untuk pulih dari dadah batu ini juga susah. Ramai mangsa dadah terkambuh semula akibat daripada kesannya yang begitu hebat.
Saya faham untuk keluar dari kancah dadah ini bukan mudah, dan saya percaya ramai orang di luar sana mahu berhenti dari menggunakan bahan terlarang ini. Terlalu banyak pantang larang dan stigma apabila kita berbicara soal dadah, dan inilah yang menyebabkan ramai orang di luar sana kambuh semula. Sudah tiba masanya untuk kita memahami situasi yang para pengguna dadah lalui dan mendekati mereka dengan cara yang lebih berperikemanusiaan dan yang paling utama, sifat ingin berubah itu perlu datang dari mereka sendiri.