Skip to content

Keselamatan air cabaran terbesar Khaled Nordin, DAP syorkan pendekatan baru

Hujan yang turun di bumi Johor sejak dua tiga hari yang lepas bukan sahaja mengurangkan sedikit pencemaran jerebu, tetapi juga membawa harapan kepada kawasan yang sedang menghadapi masalah kekurangan air yang serius seperti di Mersing dan Kluang.

Sebagai wakil rakyat kawasan Mengkibol, Kluang, saya berasa lega kerana catuan air di sini akan berakhir pada 15 September 2016, iaitu dalam tempoh kira-kira 10 hari lagi. Rakyat dapat kembali hidup biasa tanpa gangguan catuan air, buat sementara waktu. Elok saya mengambil kesempatan ini untuk membangkitkan dua persoalan penting beserta cadangan berkenaan dasar pengurusan sumber dan keselamatan air di Johor.

Pertama, bilakah pihak yang mencemari sumber air telah disiasat, didakwa dan menerima hukuman yang setimpal di sisi undang-undang? Pada 14hb Julai baru-baru ini, seramai 120 ribu akaun yang mungkin melibatkan setengah juta penduduk di sekitar Johor Bahru dikejutkan dengan kecemasan gangguan bekalan air akibat pencemaran ammonia di Sungai Johor yang dikatakan berpunca daripada limpahan air sisa kilang sawit. Jabatan Alam Sekitar mengarahkan kilang sawit milik Sime Darby di Ulu Remis, Kota Tinggi itu supaya berhenti operasi selama 60 hari [1]. Dua hari kemudian, kerajaan Johor melalui Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) meminta Singapura untuk menyalurkan tambahan 6 juta gallon air terawat setiap hari kepada Johor untuk menghadapi krisis air [2]. Keadaan hanya kembali normal beberapa hari selepas itu. Pada 26hb Julai, Jabatan Alam Sekitar membatalkan arahan berhenti operasi kepada kilang sawit Sime Darby tersebut.

Selain siasatan JAS, apakah status siasatan kejadian tersebut oleh kerajaan Johor dan BAKAJ? Apakah usaha penguatkuasaan yang telah dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri di kawasan tadahan air khasnya di sekitar Sungai Johor yang merupakan sumber air utama di negeri Johor? Rakyat sering tertanya-tanya mengapakah aktiviti manusia yang akan mencemarkan sumber air seperti perindustrian dan pertanian dibenarkan beroperasi dalam kawasan tadahan air?

Perlu diingatkan bahawa kerajaan negeri telah membuat pindaan yang menyeluruh kepada Enakmen Air 1921 Johor pada tahun 2014 di mana kuasa yang luas diberi kepada agensi kerajaan negeri untuk mengisytiharkan kawasan tadahan air (seksyen 4A), dan menetapkan bahawa pihak yang menceroboh ataupun mencemari sumber air boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit ataupun penjara lima tahun ataupun kedua-duanya (seksyen 7A) jika disabit kesalahan. Kami pihak pembangkang menyokong sepenuhnya usaha meminda undang-undang Enakmen Air tersebut oleh parti pemerintah di Dewan Negeri Johor.

Jadi, sudah tiba masanya kuasa baru di bawah Enakmen Air digunapakai untuk membendung pencemaran dan sebarang aktiviti yang menjejaskan sumber air. Tiada gunanya undang-undang digubal tetapi akhirnya tidak dilaksanakan apabila keadaan memerlukannya seperti sekarang. Rakyat Johor ingin melihat syarikat yang lalai mencemari Sungai Johor itu disiasat, didakwa dan menerima hukuman yang setimpal di bawah Enakmen Air Johor ataupun undang-undang berkenaan yang lain.

Kedua, sampai bilakah perbuatan mencuri air sungai ataupun air bawah tanah tanpa lesen dan bayaran akan dibiarkan berleluasa? Umum diketahui bahawa ribuan kilang dan ladang tani di seluruh Johor mengabstrak air mentah dari sumber sungai ataupun bawah tanah secara besar-besaran melampaui had kawalan dan ada yang langsung tidak berlesen. Sebagai contoh, di kawasan tadahan Empangan Sembrong, banyak diperhatikan ladang tani yang menyedut air dari sungai untuk tujuan pertanian tanpa sebarang lesen dan bayaran fi kepada kerajaan. Diamalkan besar-besaran, sudah pasti ia menjejaskan sumber air negeri Johor.

Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dan BAKAJ menetapkan kadar bayaran yang sesuai untuk kilang industri dan perladangan yang banyak mengabstrak air seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Air. Hasil yang dipungut itu dapat digunakan untuk mempertingkatkan usaha pemeliharaan kawasan tadahan air bagi memastikan kemapanan sumber air di Johor. Selain itu, hasil tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk memberi insentif kepada pengguna-pengguna air yang biasa supaya lebih berjimat air, dan sebahagiannya dimanfaatkan untuk membina keupayaan jangka panjang dan kepakaran badan kawal selia air iaitu BAKAJ.

Daripada menyeksa pengguna biasa dengan kadar bayaran air tertinggi di Malaysi;a, Kerajaan Johor sebagai regulator patut mengambil pendekatan baru memburu mereka yang mencuri dan mendaftarkan kilang-kilang dan ladang-ladang besar yang banyak menyedut air mentah tanpa membayar apa-apa.

Keselamatan air telah menjadi cabaran terbesar Khaled Nordin sejak mengambil alih tampuk kuasa Johor pada Mei 2013. Dalam kecemasan, Johor terpaksa meminta tambahan bekalan air terawat dari Singapura, sebuah pulau yang tiada gunung dan sungai semula jadi. Tambahan pula, baru-baru ini Sultan Johor Sultan Ibrahim meluahkan ketidakpuasan hati baginda atas prestasi pengurusan air. Kesimpulannya, Khaled Nordin perlu menjawab dua persoalan yang saya timbulkan di atas dan membukti kepada rakyat bahawa parti pemerintah ada susun atur cara baru yang berkesan untuk mempertingkatkan keselamatan air di Johor. Ujian pertama adalah menguatkuasakan Enakmen Air Johor dalam kes pencemaran sungai di Ulu Remis.