Skip to content

Keselamatan bekalan air 3.5 juta rakyat Johor terancam oleh pemotongan Bajet Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar oleh Kerajaan Persekutuan

Krisis bekalan air merupakan cabaran terbesar yang perlu diberi perhatian oleh pihak kerajaan baik Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.

Baru-baru ini warga Kluang dihantui masalah gangguan bekalan air mengakibatkan bekalan air berjadual (BAB) terpaksa dilaksanakan selama sebulan. Ini merupakan kali kedua bekalan air berjadual dilaksanakan di sekitar Kluang. Pada masa yang sama, penduduk di Mersing masih mengalami gangguan bekalan air yang berterusan sehingga sekarang sejak bulan April yang lalu. Kita juga tidak boleh lupa tentang krisis bekalan air yang berlaku di sekitar Johor Bahru dan Kota Tinggi selama 4 bulan pada tahun lepas.

Punca utama berlakunya krisis ini adalah masalah sumber air yang menyusut dengan drastik akibat kawasan tadahan air yang terdedak kepada pencemaran dan juga faktor perubahan iklim. Pada masa yang sama, beberapa sungai yang menjadi sumber air utama di negeri Johor seperti Sungai Johor dan Sungai Skudai juga sering mengalami masalah pencemaran yang membimbangkan sehingga beberapa loji rawatan air terpaksa ditutup daripada beroperasi apabila kualiti air mentah yang teruk dan sukar dirawat.

Bagaimana pun, Bajet 2017 Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan pada 21 Oktober yang lalu telah menunjukkan hala tuju yang bertentangan dengan krisis yang kita hadapi sekarang. Anggaran perbelanjaan pembangunan yang diperuntukan untuk perkara “Pengawasan dan Penguatkuasaan” Alam Sekitar (060300) bawah Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar telah dikurang daripada 105 juta ringgit pada tahun 2016 kepada 76.5 juta ringgit pada tahun 2017.

Kerja-kerja pemantauan kualiti air sungai dan penguatkuasaan pelepasan effluen industri di bahagian hulu tadahan air kini merupakan tanggungjawab Jabatan Alam Sekitar. Saya kerap dimaklumkan bahawa JAS menghadapi cabaran dalam penguatkuasaan selama ini kerana kekangan bajet. Malangnya, bajet 2017 yang diumumkan baru-baru ini memotong lagi bajet JAS, khususnya di bahagian Pengawasan dan Pemantauan sebanyak 27%. Sudah tentu prestasi penguatkuasaan akan terjejas dan risiko pencemaran sumber air meningkat di Johor dan negeri lain.

Sehubungan itu, saya menggesa Menteri Besar Johor supaya membawa masalah pemotongan bajet ini ke kerajaan Persekutuan. Sumber kewangan yang mencukupi harus diberi kepada JAS untuk memperkasakan dan memperketatkan kerja pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar, khususnya dalam bidang air sungai yang menjadi sumber minuman kita semua.

Tanpa bekalan sumber air yang selamat dan konsisten, seluruh rakyat akan menjadi mangsa dan pembangunan ekonomi Johor akan turut terjejas.