Skip to content

Kesihatan mental tidak patut diperlekehkan!

Kesihatan mental tidak patut dijadikan sebagai bahan gelak tawa dan gurauan. Sangat mengecewakan apabila Timbalan Menteri Wanita, Keluarga & Masyarakat, Dato Siti Zailah Mohd Yusoff, yang mana portfolio kementeriannya mengendalikan kes-kes yang mendorong kepada masalah kemurungan, dilihat bergelak isu sebegini dalam satu program TV Harakah yang bertajuk “Kemurungan dan Bunuh Diri semasa PKP: Apa Solusi Islam?”.

Laporan dari EMIR Research menunjukkan bahawa penyakit mental telah menjadi masalah kesihatan kedua yang paling serius selepas penyakit jantung. Tiga daripada 10 orang dewasa di Malaysia akan menderita masalah mental. Selain itu, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lepas, 266 orang telah dilaporkan mengambil nyawa mereka sendiri dan secara puratanya hampir setiap hari, akan ada seorang individu cuba untuk membunuh diri. Untuk mengeruhkan lagi keadaan, sudahlah individu yang mengalami masalah kemurungan terpaksa menghadapi cemuhan masyarakat yang memandang serong terhadap penyakit ini. Apakah tindakan saintifik yang dilakukan oleh Timbalan Menteri Wanita, Keluarga & Masyarakat untuk menggalakkan mereka tampil dan mendapatkan bantuan? Apakah usaha beliau untuk menghapuskan stigma masyarakat berkaitan masalah kemurungan?

Isu kesihatan mental merupakan subjek yang sangat-sangat sensitif, lebih-lebih lagi berkaitan isu bunuh diri dan kemurungan. Pakar-pakar perubatan juga sangat berhati-hati apabila mengulas tentang isu ini. Di dalam sedutan klip program TV Harakah tersebut dapat kita lihat moderator menggunakan terma ‘gila’ dan ‘bunuh diri’ secara melulu. Siti Zailah Mohd Yusoff yang menjadi panel dalam forum tersebut juga tidak menegur perbuatannya, sebaliknya bersama-sama mentertawakan isu yang dibicarakan.

Permohonan maaf wajar diberikan oleh yang melakukan perbuatan ini. Sudah tiba masanya untuk kita hentikan stigma terhadap isu bunuh diri dan kemurungan. Janganlah berbicara tentang sesuatu perkara yang kita tidak mempunyai kearifan di dalamnya.