Skip to content

Kesilapan Kerajaan Negeri Pahang dalam operasi memusnahkan kebun di Sungai Ichat

Satu operasi penguatkuasaan yang melibatkan 61 buah kebun di Sungai Ichat, Cameron Highlands telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang bermula 25 Februari lalu. Fasa kedua operasi penguatkuasaan yang melibatkan 50 kebun dijangkakan akan bermula pada 11 April 2019 di mana 50 pekebun itu telah menerima notis pengosongan tanah pada 11 Mac 2019 dengan tempoh 30 hari diberikan.

Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri Pahang masih gagal memberikan penjelasan yang memuaskan berkenaan dengan perkara ini dengan fakta-fakta yang kukuh, malahan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) terdapat banyak kesilapan seterusnya menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Pada asalnya, PBN mendakwa bahawa pekebun itu sudah diberi notis pengosongan tanah sejak tahun 2009. Namun begitu, kita mendapati bahawa kebanyakan pekebun itu mempunyai Lesen Pendudukan Sementara (LPS) yang sah sehingga tahun 2014-2017, maka tuduhan PBN telah dibuktikan tidak benar.

Selepas itu, PBN mendakwa bahawa TOL yang paling awal dikeluarkan ialah pada 1993, padahal kita boleh membuktikan terdapat pekebun yang mendapat TOL pada 1971 atau 48 tahun lepas. (Sila rujuk gambar foto yang dilampirkan)

Kenapakah PBN berkali-kali memberikan dakwaan yang tidak betul terhadap pekebun itu? Adakah keputusan untuk mengambil tindakan penguatkuasaan itu dijalankan secara terburu-buru tanpa meneliti secara menyeluruh? Ataupun dakwaan sedemikian adalah untuk memburukkan nama pekebun sebagai penceroboh haram supaya mereka tidak memperoleh simpati masyarakat?

Sehingga hari ini, PBN masih gagal menjustifikasikan kenapa tindakan penguatkuasaan diambil terhadap kebun di Sungai Ichat padahal pencemaran Sungai Terla yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air Kuala Terla buat masa sekarang tidak diambil peduli. Pencemaran sumber air di hulu Sungai Terla oleh penempatan haram dan perkebunan adalah lebih kritikal berbanding dengan Sungai Ichat. Adakah tindakan sedemikian merupakan penguatkuasaan secara pilihan (Selective Enforcement) atau bermotif politik di mana ia berlaku selepas Pilihanraya Kecil Parlimen Cameron Highlands?

Memandangkan tindakan PBN telah menimbulkan banyak kekeliruan di kalangan pekebun Cameron Highlands, saya menyeru kepada PBN supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan terlebih dahulu dan mengadakan dialog bersama pekebun di situ untuk mencari “win-win solution”.

Di samping penguatkuasaan, wajar pihak berkuasa negeri menawarkan jalan keluar untuk pekebun-pekebun yang diusir itu. Mereka bukannya penceroboh dari luar tetapi kebanyakannya telah mengusahakan kegiatan pertanian di Cameron Highlands secara kecil-kecilan sejak sekian lama.