Saya membaca dengan penuh minat laporan Malaysiakini semalam, bertajuk “Siapa MP sokong, tolak pindaan Akta Hasutan?” (http://www.malaysiakini.com/news/295596)
Laporan tersebut menyatakan, “Tidak seperti amalan demokrasi moden di negara lain, parlimen Malaysia tidak merekodkan butiran undi yang dibuat… Nama ahli parlimen yang mengundi dan pendirian mereka dalam sesuatu usul itu hanya diketahui lama kemudian. Itu pun hanya dibuat jika ada permintaan.”
Saya ingin menyatakan bahawa sebenarnya nama ahli-ahli parlimen direkodkan, sama ada hadir atau tidak, ketika undi belah bahagi di Parlimen.
Justeru saya agak terkejut membaca bahawa sukar bagi orang ramai termasuk pihak media untuk mengetahui apa yang disokong atau tidak disokong oleh wakil rakyat mereka di parlimen, yang merupakan badan pembuat dasar dan undang-undang tertinggi di dalam negara.
Pada sidang parlimen akan datang, saya akan mencadangkan di Dewan Rakyat supaya senarai nama dan cara mengudi para ahli parlimen dipaparkan di laman web rasmi Parlimen sebaik sahaja pengundian dijalankan.
Ketelusan sedemikian adalah penting bagi memastikan akauntabiliti dan kebertanggungjawaban ahli parlimen kepada pengundi dan rakyat dapat dipastikan secara telus, selaras dengan amalan demokrasi moden di seluruh dunia.
Rakyat berhak mengetahui apa dan bagaimana wakil rakyat mereka mengundi dalam satu-satu usul atau rang undang-undang bagi memastikan suara mereka benar-benar dibawa di Parlimen, dan bukan sekadar dijadikan gelaran sahaja.