Pengumuman pada hari ini bahawa YDPA telah mengulangi pendiriannya bahawa Parlimen perlu bersidang sesegera mungkin merupakan satu lagi petunjuk berkenaan keengganan Putrajaya untuk memanggil Parlimen untuk bersidang walaupun tidak ada sebarang halangan untuk melakukannya.
Baru-baru ini, Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara telahpun menyatakan bahawa satu Jawatankuasa telah dibentuk untuk tujuan mengkaji kemungkinan satu persidangan Parlimen secara hibrid dan berharap persidangan tersebut akan diadakan pada akhir Ogos atau awal September tahun ini.
Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) juga telah menyatakan bahawa Kerajaan akan menyasarkan jangka masa Ogos-September untuk memanggil persidangan Parlimen seperti yang dicadangkan oleh Speaker-Speaker tersebut.
Ini bukan kali pertama di mana YDPA menyatakan bahawa Parlimen harus bersidang secepat mungkin dan ini sudah tentunya merupakan nasihat yang bernas, dengan mengambil kira pandemik yang telah melanda negara ini dan pengurusannya yang buruk oleh Kerajaan yang mana perlu dibahaskan dengan segera.
Perdana Menteri harus mempertimbangkan pandangan YDPA dengan serius dan menasihati YDPA untuk memanggil Parlimen untuk bersidang dengan segera.
Speaker-Speaker juga telah menyatakan bahawa satu Sidang Khas Parlimen akan diadakan pada awal bulan Ogos bagi tujuan membincangkan isu-isu teknikal berkenaan persidangan Parlimen secara hibrid.
Ini jelas menunjukkan bahawa Parlimen boleh bersidang secara fizikal dan memandangkan semua Ahli Parlimen telahpun diberi vaksin, tiada apa yang menghalang satu persidangan segera sekurang-kurangnya selama seminggu bagi tujuan perbahasan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan Covid dan Ordinan Darurat tersebut.
Takiyuddin juga menyatakan bahawa pemberitahuan untuk persidangan Parlimen akan dibuat setelah darurat tamat pada 1 Ogos dan mestilah 28 hari sebelum persidangan diadakan.
Ini adalah tidak perlu kerana pemberitahuan 28 hari tersebut dapat diketepikan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 9 (2) (a) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Perkara ini sebenarnya telahpun dilakukan semasa persidangan tergempar Parlimen berikutan tragedi MH17 pada tahun 2014.
Memandangkan perkara di atas, saya mendesak Perdana Menteri untuk menasihati YDPA untuk memanggil Parlimen untuk bersidang dengan segera iaitu seawal bulan Julai.
Kerajaan harus mengenepikan idea persidangan Parlimen secara hibrid memandangkan keadaan yang amat terdesak yang timbul seakibat pandemik ini kerana persidangan secara hybrid akan memakan masa berbulan-bulan untuk dilaksanakan.
Perdana Menteri harus bertindak sekarang dan membolehkan Parlimen bersidang seawal minggu depan.
Ini akan memberi kesan kepada pandangan YDPA bahawa ia sangat penting bagi Parlimen untuk bersidang secepat mungkin.