Satu lagi kematian dalam tahanan. Kali ini di Hospital Sungai Bakap.
Tiada kesudahankah
Pada masa mercun membakar dan warga Malaysia berkongsi ucapan “Gong Xi Fa Cai” sesama kawan-kawan berbilang bangsa, negara ini dikejutkan lagi dengan kematian seorang lagi banduan, kali ini bertukar tangan dari dalam tahanan polis di Kompleks Penjara Seberang Prai ke Hospital Sungai Bakap.
Bagi yang mengikuti lanskap politik di Malaysia pada tahun lepas akan berkerut dahi dan menggeleng kepala memperingati bilangan kematian dalam tahanan polis pada tahun 2014.
K. Elumalai seorang warga India dari Teluk Intan telah mengadu sakit kira-kira pukul 6 petang sebelum dibawa ke Hospital Sungai Bakap dan telah meninggal dunia selepas 20 minit ketika sedang menerima rawatan.
Jurucakap polis telah menyatakan bahawa K. Elumalai telah didapati bersalah bagi 3 pertuduhan berkaitan dadah dan mengikut Ketua Polis SPS Supt Wan Hassan Wan Ahmad, tiada kesan kecederaan diatas tubuh badan K. Elumalai dan beliau masih menunggu laporan bedahsiasat dari Hospital Seberang Jaya.
Tidak kiralah latarbelakang banduan atau kesalahan yang telah dilakukan, kes kematian dalam tahanan polis ataupun dalam perjalanan dari tahanan polis untuk mendapat rawatan atau di dalam premis hospital atau pusat rawatan masih lagi menghantui negara ini yang kian dibelenggu skandal atas skandal, konspirasi atas konspirasi.
Kini mulalah sesi menuding jari siapa yang yang bertanggungjawab diatas kematian ini.
Hospital Sungai Bakap merupakan salah satu hospital di Malaysia yang terkenal dikalangan pengunjungya dari Seberang Prai Selatan, terutama sekali dari Sungai Bakap dan Nibong Tebal dengan perkhidmatan perubatan yang tidak memuaskan dan ketiadaan doktor pakar walaupun jumlah pesakit luar adalah tinggi.
Dalam sidang Dewan Rakyat yang pertama bulan Julai 2013 saya telah menanyakan satu soalan kepada Kementerian Kesihatan berhubung rancangan untuk membina hospital baru menggantikan Hospital serta butiran kepakaran hospital lain di Pulau Pinang. Jawapan yang diterima menyatakan bahawa pihak Kementerian tiada apa-apa rancangan untuk membina hospital baru bagi menggantikan Hospital Sungai Bakap. Ketiadaan doktor pakar menyebabkan kes-kes yang tidak dapat dikendali dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Hospital Bukit Mertajam atau Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
Mungkinkah ini satu sebab yang wajar dipertimbangkan yan telah menyumbang kepada kematian K. Elumalai?
Dalam jawapan kepada soalan saya pada 1 Oktober 2014, Kementerian Kesihatan menjelaskan bahawa Hospital Sungai Bakap masih tiada lagi doktor pakar dengan kapasiti 105 buah katil pesakit. Pada masa yang sama ia juga menyediakan sokongan klinikal dan bukan klinikal seperti optometri, hemodialisis, terapi cara kerja, perkhidmatan X-ray dan farmasi dengan 26 orang Pegawai Perubatan yang sedang berkhidmat adalah mencukupi.
Pada masa yang sama, dengan peruntukan aset perubatan sebanyak RM185,000 bagi tahun 2014 untuk Hospital Sungai Bakap, dua buah ambulans dijangka akan dibeli menjadikan jumlah keseluruhan ambulan sebanyak 4 buah.
Dengan lebih 200,000 penduduk di Seberang Prai Selatan dan sedang meningkat, dan tanpa mana-mana hospital swasta lain di SPS, boleh dikatakan bahawa semua pesakit Nibong Tebal serta Batu Kawan (selatan) terpaksa mendapat rawatan dari hospital ini. Yang peliknya, BOR atau Bed Occupancy Rate di Hospital Sungai Bakap masih 60.13% dan kini Hospital Sungai Bakap akan mempunyai 4 buah ambulans daripada 2 buah sebelum ini.
Timbalan Menteri Kesihatan pernah mengatakan di Parlimen bahawa kementerian akan melihat semula keperluan mengadakan satu lagi hospital di Sungai Bakap dengan peningkatan penduduk di SPS.
Hujahan ini jelas menunjukkan bahawa Hospital Sungai Bakap jelas kurang kompeten kerana ketiadaan doktor pakar, infrastruktur yang masih diperbuat dari kayu, keadaan hospital yang tidak kondusif, bilangan ambulans yang rendah dan sikap endah-tak endah kebanyakan staf disana, tidak menghairankan jika pesakit dihantar ke hospital lain atau ‘dipaksa’ untuk mendapat rawatan di hospital di daerah yang lain.
Bagaimana reputasi satu-satunya hospital di Sungai Bakap dapat dipertahankan sekiranya masyarakat tempatan tiada keyakinan terhadap perkhidmatan perubatan di hospital tersebut yang tidak menunjukkan apa-apa penambahbaikan dalam beberapa tahun ini.
Isu penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Hospital Sungai Bakap juga telah dikemudikan oleh mantan Ahli Parlimen Batu Kawan sebelum ini, Prof Dr. P Ramasamy juga, namun tiada apa-apa perubahan ketara atau perubahan positif yang setimpal dengan tuntutan dan keperluan masyarakat di Seberang Prai Selatan.
Pada Jan 8 seorang lelaki berumur 31 tahun juga telah meninggal dunia di Hospital Sultan Aminah, Johor Bahru untuk rawatan selepas mengadu mengalami sakit perut. Banduan juga mempunyai 10 kes berkaitan dadah sebelum ini. Sebab kematian diklasifikasikan sebagai “sudden death”.
Kes kematian K. Elumalai ini dengan jelas mempertikaikan integriti pihak polis serta integriti pihak hospital kerana kali terakhir K. Elumalai masih hidup adalah bersama pihak polis dan pihak hospital.
Adalah tanggungjawab pihak polis dan pihak hospital untuk memastikan banduan mendapat rawatan perubatan yang terbaik secepat mungkin. Dan dalam kes ini, jelas institusi kerajaan, sekali lagi telah menghampakan rakyatnya.
The system has failed her people – again.
Saya pasti Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan jadual kerjanya yang berat dalam operasi penahanan mereka yang berbeza pendfapat dibawah Akta Hasutan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Subramaniam yang juga sama sibuk dengan krisis MIC akan memberikan fokus dan perhatian yang sewajarnya tehadap kes kematian ini yang tidak patut berlaku sama sekali.