Skip to content

Ketua Polis Negara dan Menteri Pertahanan hendaklah menjadi orang-orang yang terawal ditangkap dan didakwa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No.2) 2021 kerana menyebarkan berita tidak benar berkaitan dengan Covid-19 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021

Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hendaklah menjadi orang-orang yang terawal ditangkap dan didakwa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Penting) (No.2) 2021 (selepas ini disebut sebagai ‘EEPO 2021’) yang mulai berkuat kuasa semalam kerana menyebarkan berita tidak benar mengenai Covid-19 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 (selepas ini disebut sebagai ‘EO 2021’).

EEPO 2021 hendaklah dilaksanakan dengan segera ke atas IGP dan Menteri Pertahanan kerana mereka memegang jawatan-jawatan tertinggi dalam kerajaan dan berada di barisan hadapan mengendalikan Covid-19 dan menguatkuasakan EO 2021. Berita tidak benar mereka mempunyai pengaruh yang luas dan pegawai polis serta orang yang diberi kuasa oleh mereka akan bertindak mengikut arahan atau berita yang disiarkan oleh mereka.

Berita Tidak Benar No.1

Sebelum pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) oleh EO 2021, IGP dan Menteri Pertahanan telah menyebarkan berita tidak benar dengan mengumumkan dan / atau memberi gambaran bahawa polis boleh menangkap dan / atau mengeluarkan kompaun (saman) untuk pelanggaran di bawah Akta 342 dan / atau peraturan yang dibuat di bawahnya, misalnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Piawai Prosedur Beroperasi (SOP). Polis tidak mempunyai kuasa untuk menangkap mereka yang disyaki telah melakukan kesalahan kerana kesalahan-kesalahan tersebut adalah kesalahan yang tidak lazim ditangkap. Polis juga tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan tawaran kompaun di bawah Akta 342.

Setelah Akta 342 dipinda oleh EO 2021, Ketua Pengarah Kesihatan dan pegawai yang diberi kuasa setelah mendapat keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya boleh mengeluarkan tawaran untuk kompaun atas kesalahan di bawah Akta 342. Mengikut peraturan tafsiran ejusdem generis (jenis yang sama), polis bukannya orang yang diberikan kuasa untuk menawarkan kompaun di bawah Akta 342. Jikalau pun kita menafsirkan polis boleh dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa, mereka juga harus mendapat keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya sebelum mereka boleh mengeluarkan tawaran kompaun. Saya percaya mereka tidak mendapat keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya sebelum mereka mengeluarkan tawaran kompaun RM10,000.00 kepada mereka yang dikatakan pesalah-pesalah semalam.

Berita Tidak Benar No.2

Pada 27/2/2021, IGP telah mengatakan bahawa kompaun RM10,000.00 yang berkuat kuasa pada 11/3/2021 hanya akan dikenakan kepada individu yang melanggar PKP berulang kali dan juga mereka yang boleh mencetuskan penyebaran Covid-19. Ini jelas merupakan berita tidak benar kerana tidak ada apa-apa peruntukan undang-undang yang menyokong kenyataan tersebut.

Pada 11/3/2021, IGP mengesahkan apa yang dikatakannya pada 27/3/2021 adalah berita tidak benar. Beliau mengatakan bahawa tawaran untuk kompaun yang dikeluarkan oleh polis mestilah RM10,000.00 dalam semua kes. Mereka yang tidak berpuas hati boleh memohon kepada jabatan kesihatan di daerah masing-masing untuk pengurangan kompaun tersebut.

Sekiranya kuasa untuk menentukan denda muktamad terletak pada jabatan kesihatan, jelas kuasa untuk kompaun terletak pada jabatan kesihatan. Akta 342 (seperti yang dipinda oleh EO 2021) dengan jelas menyatakan bahawa kuasa mengeluarkan tawaran kompaun terletak pada Ketua Pengarah Kesihatan atau pegawai yang diberi kuasa setelah keizinan bertulis Pendakwa Raya telah diperoleh. IGP telah secara tidak langsung mengesahkan bahawa polis tidak mempunyai kuasa untuk memberikan tawaran kompaun, mengesahkan Berita Tidak Benar No.1.

Saya tidak menyokong supaya IGP dan Menteri Pertahanan ditangkap dan didakwa di bawah EEPO 2021 tetapi EEPO 2021 telah menjadi undang-undang kita sejak semalam (12/3/2021).

Memandangkan ia adalah undang-undang negara kita, ia harus dikuatkuasakan. Oleh kerana IGP dan Menteri Pertahanan belum menarik balik atau memperbetulkan berita-berita tidak benar mereka, mereka telah melakukan kesalahan berita tidak benar di bawah EEPO 2021. Sekiranya mereka tidak ditangkap dan didakwa, Kerajaan PN jelas mengamalkan amalan dua darjat. Ia juga mengesahkan bahawa kerajaan pintu belakang PN yang tidak dipilih rakyat memperkenalkan EEPO 2021 untuk mengekang kebebasan bersuara, kebebasan media dan membungkam mereka yang mengkritik kerajaan PN berkenaan dengan kegagalannya dalam menangani Covid-19 dan menggunakan undang-undang Pengisytiharan Darurat untuk menyekat demokrasi di Malaysia.

Saya memohon EEPO 2021 ditarik balik dengan segera.

IGP dan Menteri Pertahanan harus segera mendapat nasihat daripada pejabat Peguam Negara samada mereka telah terkhilaf dari segi undang-undang berkenaan dengan isu-isu yang telah saya bangkitkan. Sekiranya Peguam Negara dapat menunjukkan bahawa sayalah yang terkhilaf, saya terbuka hati diperbetulkan. Beginilah cara sebuah negara yang bebas dan demokratik harus berfungsi. Kita tidak boleh membiarkan kerajaan pintu belakang yang tidak dipilih rakyat untuk membungkam lawan-lawannya dengan menggunakan kuasa dan undang-undang darurat yang zalim dalam usahanya untuk terus berkuasa.