Skip to content

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu tahu beza khabar angin (hearsay) dan laporan media. Jangan menghadap Twitter sahaja

Cepat benar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meletah dan mendakwa kononnya laporan polis yang saya buat semalam bersama Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh mengenai bukti terbaru dalam kes pembunuhan Altantuya sebagai ‘berasaskan khabar angin’.

Ini tidak banyak beza dengan reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membakulsampahkah soalan media mengenai hal tersebut, seolah-olah beliau sudah mengetahui perkara sebenar.

Ketua Polis Negara dilaporkan media sebagai berkata bahawa pihak polis memerlukan cukup bukti untuk memulakan siasatan. “Dakwaan semata-mata bukan alasan yang cukup. Laporan polis DAP itu berasaskan khabar angin di media,” kata beliau kepada media.

Mungkin Khalid sudah lama tidak melayari Twitter sepertimana selalu dan tidak membaca laporan eksklusif Malaysiakini yang telah mewawancara Sirul Azhar Umar yang kini sedang ditahan pihak imigresen Australia. http://www.malaysiakini.com/news/289756

Adakah Khalid tahu membezakan antara khabar angin dan laporan media yang kredibel? Sebagai contoh, fitnah terhadap Ahli Parlimen DAP bagi Kampar, Dr Ko Chung Sen, yang kononnya ‘mengarahkan supaya subjek tamadun Islam dihapuskan’ di Facebook jelas merupakan khabar angin. Pun begitu, Khalid beriya-iya berkata bahawa kenyataan Dr Ko itu wajar disiasat di bawah Akta Hasutan. Saya sertakan screenshotnya sekali.

Ini jelas berbeza dengan wawancara eksklusif terus dari mulut Sirul Azhar Umar. Ini bukan khabar angin, bukan cubaan, ini betul-betul.

Ini juga membuatkan saya sangsi, apa sebenarnya motif Ketua Polis Negara dengan begitu pantas sekali cuba menolak tepi laporan yang saya buat ketika kertas laporan pun belum sempat siap disiasat oleh pegawai penyiasat.

Saya justeru menggesa Khalid untuk berhenti menatap Twitter lama-lama dan melaksanakan tugasnya memperbaiki imej pasukan polis selain membela nasib anggotanya yang kini terbuang dan terkurung di Australia atas sebab-sebab yang kita semua pun teringin mahu tahu.

Saya juga menggesa Khalid menulis surat kepada pihak berkuasa Australia untuk mengesahkan atau menafikan bahawa Sirul Azhar Umar telah diwawancara oleh Malayskini, dan segala yang dilaporkan oleh portal berita itu benar belaka. Inilah cara terbaik untuk memperjelaskan soal ‘khabar angin’ tadi. Periksa terus dengan orang-orang yang terlibat dalam wawancara tersebut.

Sebaliknya jika perkara sebegini mudah pun beliau tidak boleh buat, saya menggesa Kabinet, terutamanya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menegur Ketua Polis Negara, atau sebaiknya diturun pangkat beliau. Saya pasti ramai lagi yang sedang menunggu giliran mahu menjadi Ketua Polis Negara.

Sekiranya Khalid hanya mahu melayan maklumat Twitter dan menganggap laporan berita sebagai khabar angin, suruh sahaja beliau melayan Twitter di rumah. Ramai lagi yang lebih layak menjadi Ketua Polis Negara.