Skip to content

Ketua Polis Negara terang-terangan berbohong menerusi tweet yang menyebut bahawa polis mengambil dasar “tidak bertoleransi” terhadap hasutan sedangkan tiada tindakan diambil terhadap para pemimpin UMNO yang membuat kenyataan hasutan dan palsu terhadap bukan-Muslim dan bukan-Melayu

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar terang-terangan berbohong menerusi tweet yang menyebut bahawa polis mengambil dasar “tidak bertoleransi” terhadap hasutan sedangkan tiada tindakan diambil terhadap para pemimpin UMNO yang membuat kenyataan hasutan dan palsu terhadap bukan-Muslim dan bukan-Melayu. Pagi ini, polis menahan penerbit The Edge Ho Kay Tat dan ketua eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq sewaktu mereka tampil untuk soal-jawab di ibu pejabat polis Dang Wangi.

Sebelum itu, pengarang urusan TMI Lionel Morais serta pengarang kanan Amin Shah Iskandar dan Zulkifli Sulong ditangkap dan ditahan semalaman berikutan satu laporan berkenaan Majlis Raja-raja yang telah diterbitkan oleh portal berita tersebut yang dikatakan silap. Kelima-lima mereka disiasat menurut Seksyen 4 Akta Hasutan kerana menerbitkan bahan berunsur hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 dan dipenjarakan selama sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan denda sehingga RM50,000 dan penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Lebih daripada 150 ahli politik pembangkan dan aktivis masyarakat sivil telah diberkas sejak Februari lalu kerana pelbagai kesalahan. Bagaimanapun belum ada tindakan diambil terhadap Menteri Pertanian dan Asas Tani Ismail Sabri Yaakob kerana berbohong dalam seruannya ke arah memboikot pedagang Cina kerana enggan menurunkan harga dan atas dakwaannya bahawa Cina menindas Melayu.

Sebelum Ismail, Timbalan Menteri UMNO Dr Mashitah Ibrahim membuat pembohongan besar dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu dengan mendakwa masyarakat Cina di Kedah telah membakar Quran dalam suatu upacara sembahyang, sedangkan perbuatan itu dilakukan oleh seorang Melayu Muslim yang kurang siuman. Dalam Perhimpunan Agung UMNO yang sama, Ketua Bahagian UMNO Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said telah membuat dakwaan palsu mengatakan kekuatan politik dan ekonomi kaum Cina di Pulau Pinang datang dari kegiatan ekonomi haram seperti perjudian haram, pelacuran dan pusat hiburan. Kedua-dua mereka tidak menarik balik atau meminta maaf atas serangan tidak berasas mereka dan tiada tindakan diambil oleh Ketua Polis Negara.

Rakyat Malaysia yang siuman pasti akan marah dengan dakwaan Ketua Polis Negara bahawa polis tidak bertolak-ansur dengan hasutan sedangkan beliau terang-terangan mengamalkan sikap pilih bulu dan melakukan pendakwaan terpilih. Ketua Polis Negara mungkin bangga sekiranya dianggap telah hilang waras apabila melancarkan siri penangkapan secara melulu. Tindakannya itu tiada punca yang jelas selain penyalahgunaan kuasa, dan sasarannya pula hanya pihak yang menentang tuan politiknya, iaitu BN.

DAP menyeru agar semua yang ditahan dibebaskan segera, termasuk para wartawan yang hanya melakukan tugas melaporkan berita. Jika laporan mereka salah, mereka boleh disaman fitnah dan dihukum dengan denda. Perbuatan menangkap dan menahan mereka adalah perbuatan keterlaluan untuk menekan para wartawan yang hanya melaksanakan tugas. Di mana kebebasan akhbar jika golongan yang menulis berita buruk atau salah tentang kerajaan BN dengan segera dihukum dengan penahanan yang tidak perlu serta tidak munasabah?

Sekali lagi, mengapa tindakan yang sama tidak diambil terhadap akhbar pro-BN yang menerbitkan pembohongan tentang Pakatan Rakyat atau terhadap saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya telah memenangi banyak saman terhadap Utusan Malaysia dan New Straits Times (NST), namun belum pernah ada wartawan Utusan atau NST yang terpaksa berdepan dengan taktik keras Ketua Polis Negara seperti yang menimpa TMI. Tindakan keras terhadap wartawan hanya akan merugikan dan akan memburukkan nama Malaysia di mata dunia kerana tidak mengamalkan kebebasan dan kesederhanaan yang dicanang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.