Dilaporkan dalam sebuah akhbar Cina beberapa hari lepas, Datuk Tan berkata dalam sebuah majlis makan malam bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang pilihanraya selepas persempadanan semula. Beliau berkata selepas persempadanan semula, BN bukan sahaja akan menang di kawasan sedia ada di Perak malah akan juga menang di Sepetang dan Changkat Jering.
Ini jelas menunjukkan bahawa secara tidak langsung, penafian pemimpin pemimpin BN dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah satu sandiwara semata mata. Keadaan ini jelas kelihatan apabila 9 daripada 10 kawasan parlimen terbesar dalam negara kini adalah kerusi pembangkang.
Manakala, dengan mengambil perbandingan kerusi negeri N22 Jalong yang mempunyai seramai 29673 hampir sama bilangan pengundi di kawasan parlimen P55 Lenggong yang merupakan kubu kuat BN dengan pengundi seramai 29835. Jika dilihat dari segi geografi, pekerjaan penduduk serta taraf hidup masyarakat, kedua dua kawasan tersebut hampir sama tetapi di kawasan BN ianya kerusi parlimen dan pada masa sama di Jalong ianya cuma kerusi negeri.
Kami yakin kini jumlah pengundi yang menyokong Pakatan Harapan (PH) sudah melepasi garisan 60% daripada rakyat Malaysia. Ianya bukan hasil statistik culaan atau bancian tetapi hasil daripada berjumpa dengan masyarakat dan akar umbi. Ia juga semakin terserlah dengan Tun Mahathir sebagai Pengerusi PH dan calon Perdana Menteri. Masyarakat dan kawasan yang dahulunya kubu BN kini semakin ramai menaiki gelombang tsunami rakyat Malaysia untuk menukar kerajaan BN sedia ada.
Dengan majoriti rakyat Malaysia melepasi 60% dan berkemungkinan tinggi mencapai dua pertiga, rakyat cuma perlu pulang mengundi untuk menukar kerajaan dan tiada langkah yang dapat menghalang kehendak rakyat. Maka, SPR cuma akan menaikan kemarahan serta semangat rakyat apabila mencuba untuk memenangkan BN dengan bukan sahaja menolong BN dalam persempadanan semula malah, menentukan hari pengundian pada hari Rabu.
Saya menggesa supaya SPR pulang ke pangkal jalan untuk bertanggungjawab kepada rakyat dan bukannya BN. SPR sepatutnya bertanggungjawab mempertahankan demokrasi negara dan bukannya segolongan atau satu satu pihak.