Skip to content

Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani minta juga dihadapkan ke mahkamah seperti mak cik tua yang berumur 72 tahun itu

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dr Khairuddin Takiri Mohd Khairuddin Aman Razali masih tidak mahu mengakui wujudnya double-standard atau “antara dua darjat”, bila beliau dikenakan kompaun “manja” RM1,000 kerana melanggari peraturan keselamatan COVID-19 kuarantin kendiri dalam rumah dan tidak pakai gelang merah jambu, sedangkan mak cik tua berumur 72 tahun pula dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjarakan. Sebaliknya Khairuddin mempersoalkan kelayakan saya untuk berbicara soal moral dalam kesalahan Khairuddin, kerana saya didakwa oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah(SPRM).

Sekiranya ini adalah standard baru Khairuddin, maka beliau juga harus mempersoalkan kelayakan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi membuat ulasan atas isu negara sungguhpun mereka didakwa oleh SPRM di mahkamah. Malah Najib telahpun didapati bersalah oleh mahkamah dengan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Sebaliknya Khairuddin menconteng arang di muka sendiri dengan terus bersama kedua-dua pemimpin UMNO dalam Muafakat Nasional.

Sebagai pemimpin, Khairuddin harus menunjukkan kepimpinan melalui teladan dan tidak melakukan kesalahan sedemikian yang tidak bermoral dan salah di sisi undang-undang. Itulah sebabnya begitu ramai Menteri-Menteri di luar negara telahpun letak jawatan kerana melakukan kesalahan yang sama iaitu melanggari peraturan keselamatan melawan COVID-19.

Perkara yang lagi tidak bermoral ialah kemelut “antara dua darjat” atau “double-standard”, apabila VIP seperti Menteri dikenakan kompaun “manja” RM1,000, sedangkan rakyat biasa dihadapkan ke mahkamah dengan denda RM8,000 dan dipenjara. Khairuddin akan dilihat sebagai sangat bermoral sekiranya beliau berani minta juga dihadapkan ke mahkamah sama seperti Mak Cik tua yang berumur 72 tahun itu.

DAP Berbeza Dengan Pendirian PAS Bahawa Khairuddin Ialah Wira(Hero) Dan Kementerian Kesihatan Sudah Cuai.

Bukan sahaja Khairuddin, tetapi PAS juga tidak mahu mengakui kompaun “manja” RM1,000 ini ialah “antara dua darjat” atau “double-standard” yang tidak bermoral. Sebaliknya PAS menganggap Khairuddin adalah seorang wira atau “hero” sungguhpun Khairuddin dan keluarganya melakukan kesalahan tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu selepas kembali dari Turki.

Tambahan pula PAS juga menyalahkan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri sebagi cuai atas kesalahan yang dilakukan oleh Khairuddin. Pendirian PAS ini tidak masuk akal sehingga sampai hati menuduh Kementerian Kesihatan yang bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia, menunjukkan betapa terpesongnya sistem nilai di dalam PAS.

DAP tidak bersetuju dengan PAS yang mengangkat Khairuddin sebagai wira(hero). Seorang wira adalah seseorang yang mendedikasikan hidupnya untuk melindungi orang lain di dalam usaha menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik. Selama wabak coronavirus ini, masyarakat umum mengiktirafkan doktor, jururawat, pekerja pembersihan hospital, tentera dan polis sebagai wira sebenar.

Itulah perbezaan antara DAP dan PAS. DAP menganggap wira sebenar adalah anggota Kementerian Kesihatan dan pasukan keselamatan manakala PAS memilih Khairuddin.