Saya kesal dengan kenyataan Setiausaha PAS Selangor Khairuddin Othman yang memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, kononnya beliau menuduh PAS Selangor “buat jahat kerana kenaikan elaun guru-guru KAFA, memperkasakan institusi masjid serta memperjuangkan kewujudan Kolej Intergrasi Tahfiz Selangor”.
Kenyataan Khairuddin ini telah diterbitkan oleh beberapa media aliran utama berbahasa Malaysia dan telah diletak dalam laman Facebook beliau. Kenyataan Khairuddin adalah fitnah dan tidak berasas.
Ucapan Guan Eng telah disampaikan di Kongres Kebangsaan Wanita DAP 2015 di Kuala Lumpur pada 15 November 2015. Ianya hanya menyentuh bahawa DAP perlu terus kekal dalam kerajaan Selangor untuk memastikan PAS “tidak buat jahat” dan “tidak melaksanakan dasar yang tidak baik” kepada rakyat negeri itu.
Beliau telah memetik contoh di Kelantan di mana ADUN PAS bagi kawasan Salor, YB Husam Musa telah membongkarkan skandal pembalakan di kawasan hutan simpan kekal. Pembalakan yang yang tidak terkawal di Kelantan telah menyebabkan musibah air bah di negeri itu setahun yang lalu.
Inilah perkara jahat yang disebut Guan Eng yang berlaku di negeri yang dikatakan sebagai kubu kuat PAS, sehingga parti pembangkang UMNO pun tidak berdaya mendedahkan skandal yang serious ini.
Bayangkan kalau DAP keluar daripada kerajaan Selangor, sudah pasti mekanisme pemantauan terhadap kerajaan Selangor akan menjadi lemah, maka tiada sesiapa pun yang boleh menolak kemungkinan berlakunya musibah yang sama di Selangor nanti.
Inilah apa yang dinyatakan oleh Lim Guan Eng. Dimanakah beliau ada menyentuh kenaikan elaun guru KAFA, pemerkasaan institusi masjid mahupun penubuhan Kolej Intergrasi Tahfiz Selangor?
Malahan dasar-dasar ini juga dan harus dipersetujui oleh DAP dan PKR kerana ianya merupakan sebahagian daripada dasar-dasar bersama dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor dalam PRU13.
Sebagai seorang ahli politik dan peguam bertauliah, Khairuddin pasti tahu bahawa kejujuran dalam berhujah dan perbicaraan yang berdasarkan fakta ialah kualiti yang wajib ada.
Justeru itu, saya menyeru beliau agar menarik balik fitnahnya terhadap Guan Eng dan memohon maaf atas tuduhannya yang tidak berasas itu.