PAS telah mengangkat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali sebagai “wira” kerana melanggar arahan kuarantin diri 14 hari di rumah atau memakai gelang merah jambu, setelah kembali dari lawatan peribadi / separa rasmi ke Turki. Untuk PAS menganggap Menteri sebagai “wira”, ketika dia dan keluarganya secara terang-terangan melanggar SOP COVID-19 yang dikeluarkan oleh Kerajaannya sendiri, hanya menunjukkan betapa pesongnya sistem nilai di dalam PAS.
Perkara ini boleh menimbulkan bahaya yang jelas dan nyata kepada Malaysia kerana PAS sekarang adalah sebahagian daripada Kerajaan. Pemahaman umum tentang wira adalah seseorang yang mendedikasikan hidupnya untuk melindungi orang lain di dalam usaha menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih baik. Selama wabak coronavirus ini, masyarakat umum mengiktirafkan doktor, jururawat, pekerja pembersihan hospital, tentera dan polis sebagai wira sebenar. Khairuddin semestinya bukanlah seorang wira kerana melanggar peraturan kuarantin 14 hari di rumah dan tidak memakai gelang merah jambu.
Tindakan Khairuddin melanggar peraturan tersebut bukan sahaja tidak bermoral, berdosa tetapi juga menyalahi undang-undang. Namun, PAS tidak menganggap apa yang telah dilakukan oleh Khairuddin sebagai tidak bermoral, berdosa atau menyalahi undang-undang tetapi sebaliknya sebagai satu keberanian! Yang membuat rakyat Malaysia naik marah ialah Khairuddin dihukum manja dengan hanya denda kompaun RM 1,000. Sebaliknya seorang wanita warga emas Melayu berusia 72 tahun telah didakwa di mahkamah dan didenda RM8,000 serta penjara sehari kerana kesalahan serupa.
Layanan antara dua darjat atau “double standard” seperti ini di mana hukuman lebih ringan untuk seorang Menteri dan hukuman yang lebih berat bagi seorang rakyat biasa, secara terbuka mempersenda dan melanggar jaminan perlembagaan kita untuk kesaksamaan undang-undang. Untuk melepaskan diri daripada perbuatannya yang tidak bermoral, berdosa dan menyalahi undang-undang, Khairuddin telah membuat satu kenyataan yang sekali lagi menyalahkan PH dan DAP kerana “isu kecil” ini.
Dia telah memberi amaran bahawa PAS sebagai pelindung Islam dan pembela orang Melayu, mesti bertindak terhadap mereka yang menghina dan mengetepikan Islam dan orang Melayu. Khairuddin tidal memberikan sebarang bukti bagaimana PH dan DAP menentang Islam dan orang Melayu. Khairuddin tidak boleh menganggap bahawa rakyat Malaysia, termasuk orang Islam sendiri, begitu mudah tertipu sehingga boleh diperdaya olehnya, iaitu dengan memainkan sentimen agama dan perkauman yang melampau dapat menyelamatkannya daripada kesalahannya.