Skip to content

Khaled Nordin sedang terkesan dengan gelombang rakyat bersama Pakatan Harapan

Pengerusi Barisan Nasional Negeri Johor, Mohamed Khaled Nordin menyertai rakan seperjuangannya di peringkat pusat, Ahmad Zahid Hamidi dan Nurjazlan Mohamed memberikan kenyataan seperti tidak memahami konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Terdahulu, pada awal minggu ini, Khaled Nordin bermain sentimen yang menakut-nakutkan rakyat Johor melalui tohmahan memperlekeh DAP sebagai pengamal demokrasi ala penjajah. Terbaharu, pada hari ini (Sabtu, 21 April) bertempat di Pasir Gudang, Khaled Nordin sekali lagi cuba meracuni dan memesongkan rakyat Johor tentang konsep demokrasi dengan menyatakan bahawa pemilihan parti selain BN menerajui negara dan negeri Johor sebagai satu eksperimen merbahaya.

Rujukan:

a) http://www.bernama.com/bm/politik/news.php?id=1454805

b) https://www.thestar.com.my/news/nation/2018/04/21/dont-gamble-the-next-five-years-away-mb-warns-johoreans/

Tohmahan dan racun yang cuba ditularkan oleh Khaled Nordin memperlihat keresahan BN Johor dalam menghadapi kemaraan dan kebangkitan rakyat Johor bersama Pakatan Harapan. Hakikatnya, Khaled Nordin di peringkat negeri dan Najib Razak di peringkat pusat seakan tiada bezanya – bermain sentimen agenda pembodohan selepas gagal menyediakan dasar terbaik untuk rakyat dan terpalit dengan skandal seperti di Johor yang melibatkan anggota pentadbirannya dalam isu hartanah.

Bertambah malang apabila suluhan agama yang digembar-gemburkan beliau melalui agenda Johor Islami tidak sama sekali memadam pendekatan politik jijik dan jumud yang sudah sebati diamalkan oleh BN.

Sebagai pencerahan untuk Khaled Nordin, ingin saya tekankan bahawa konsep demokrasi memberi ruang dan kuasa kepada rakyat untuk meletak dan menurunkan parti-parti politik di puncak kuasa kerajaan. Lantaran itu, memilih Pakatan Harapan untuk menerajui Malaysia dan negeri Johor bukanlah satu eksperimen, sebaliknya merupakan realiti sebenar konsep demokrasi yang menggariskan penglibatan rakyat dala melakar halatuju negara.

Maka dengan itu, ingin saya tegas dan tekankan, bahawa mengundi Pakatan Harapan bukan satu eksperimen merbahaya, tetapi satu permulaan baharu untuk menyuburkan demokrasi yang selama ini telah dimandulkan oleh Barisan Nasional.

Justeru itu, saya menyeru agar rakyat Malaysia dan Johor untuk kekal dan teguh dengan semangat ubah dalam membina semula Malaysia bersama Pakatan Harapan. Pulang mengundi dan bersama kita meraikan pesta demokrasi ini.