Skip to content

Khianat rakyat, derhaka Raja

Sesuatu yang tidak dijangka telah berlaku. DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah menzahirkan rasa “amat dukacita” dengan kerajaan Perikatan Nasional atas tindak-tanduknya berhubungan isu Darurat.

Dalam tata bahasa awam untuk kegunaan YDPA, “amat dukacita” bererti “sangat marah” atau dalam bahasa istana, “murka”. Bukan sekali Seri Paduka Baginda melafazkannya, malah dua kali kata-kata itu dititahkan.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini (29 Julai 2021), Seri Paduka Baginda menitahkan rasa murka dengan kerajaan PN yang “membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda”.

Kenyataan media yang sama turut menyebut:
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Yang Berbahagia Tan Sri Idrus bin Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.”

Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa:

  1. Pengkhianatan dan penderhakaan ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka. Malah, lebih memalukan dan menjatuhkan maruah ialah perbuatan keji ini dilakukan oleh kerajaan PN yang mendakwa diri sebagai “kerajaan Melayu-Islam” yang pastinya akan mencalarkan imej Islam sebagai agama agung yang suci di samping memalukan orang Melayu sendiri.
  2. Kenyataan YB Takiyuddin di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 bahawa Ordinan-ordinan Darurat telah dibatalkan sejak 21 Julai 2021 wajib dibaca dengan kenyataan media Kabinet Malaysia pada 14 Julai 2021, iaitu “setiap keputusan Kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri”. Ini bermakna, pengkhianatan dan penderhakaan ini adalah dibuat secara kolektif oleh 9 Ahli Parlimen BERSATU, 8 Ahli Parlimen UMNO dan 3 Ahli Parlimen PAS; tiga parti besar orang Melayu; dan disokong oleh parti-parti komponen lain.
  3. Kini jelaslah parti-parti politik yang mempergunakan nama Melayu dan agama Islam, dan turut mengaku kerajaan mereka direstui YDPA, merekalah yang sebenarnya telah mengkhianati rakyat dan menderhaka raja.
  4. Sikap biadab kerajaan PN semakin terserlah. Setelah YDPA bertitah, tiada seorangpun pemimpin besar PN, sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin atau Takiyuddin, atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meminta maaf memohon ampun kepada Seri Paduka Baginda setelah mereka menyebabkan rasa “amat dukacita” YDPA dengan perbuatan mereka berhubung isu Darurat.
  5. Lebih memburukkan keadaan ialah apabila kenyataan media pada petang hari ini 29 Julai 2021 dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang “menjawab” titah YDPA. Malah, nada kenyataan itu seolah-olah mahu menyalahkan pula pihak Istana Negara.
  6. Jelaslah, kerajaan PN sememangnya tidak peduli lagi dengan rakyat, apatah lagi menghormati institusi diRaja. Mereka hanya pentingkan diri dan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa.