Saya telah dihantar satu video perbincangan berkumpulan di antara empat orang, yang saya tidak kenal, di bawah tajuk “Tan Sri Lim Kit Siang mengamuk bila ditanya tempat lahir beliau” di laman Facebook yang bernama “TCH PALA:”.
Episod di mana kononnya saya mengamuk ini dikatakan terjadi semasa saya ditanya oleh seorang wartawan di lapangan terbang mengenai di mana saya dilahirkan, sedangkan perkara ini direka semata-mata dan tidak pernah berlaku sama sekali.
Saya tidak pernah menyorokkan fakta bahawa saya dilahirkan di Batu Pahat pada 20 Februari 1941, dan saya bersekolah dan membesar di Batu Pahat pada tahun empat dan lima puluhan.
Saya mendaftar ke SJKC Cheng Siu pada tahun 1947 sebelum berpindah pada tahun 1949 ke Sekolah Inggeris Batu Pahat di mana saya melengkapkan pengajian di peringkat rendah dan menengah selama 11 tahun.
Fitnah yang cuba mengatakan bahawa saya bukan anak kelahiran tempatan, kononnya saya datang dari China ketika saya berusia 16 tahun sebelum menetap di Batu Pahat pada tahun lima puluhan adalah penipuan semata-mata.
Pertama kali saya melawat negara China adalah ketika saya berusia lima puluhan tahun.
Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk PAS dan Bersatu menggunakan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian sebegini untuk cuba menang dalam enam pilihan raya negeri pada 12 Ogos 2023, tetapi bagaimanakah mereka dapat terus bergantung dengan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian untuk memenangi pilihan raya?