Skip to content

KKMart Petrol Bombing

Angkatan Muda Harapan(Pemuda PH) menzahirkan kebimbangan atas insiden terbaharu penggunaan bom petrol oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dilaporkan berlaku lagi di salah sebuah rangkaian kedai serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang, dan sebelum ini di Perak.

Kita sedia maklum berkenaan insiden cetakan kalimah suci Allah pada stoking yang dijual oleh sebuah pasaraya KK Mart baru-baru ini sangat serius dan telah memberi impak kepada masyarakat seluruh negara khususnya umat Islam apa lagi ketika kita sedang berada di dalam bulan Ramadhan.

Namun sebarang tindakan tidak rasional dan di luar batas undang-undang haruslah dikecam dan mana-mana pihak yang terus mengapi-apikan dan menunggang isu ini sehingga mengakibatkan berlaku kegiatan ekstrimisme dan perbuatan melampau haruslah dihukum mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Kami menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu sarung kaki (stoking) tertera kalimah Allah kerana perkara itu sudah dalam proses perundangan.

Maka kami menyeru agak semua pihak tenteram dan biar pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk meredakan keadaan sebelum ia bertambah parah.

Marilah kita bersama-sama begerak ke arah perpaduan, bukan perpecahan. Inilah peluang untuk mendapat pemahaman yang lebih baik antara satu sama lain dalam masyarakat kita yang majmuk, agar perkara sebegini tidak berulang lagi. Perpaduan adalah kekuatan kita bersama.